Isteri harap suami hilang empat tahun lalu ditemui

Anak bongsu Kasiah, Wan Muhammad Syakir Wan Abd Manan, 8 menunjukkan gambar ayahnya yang hilang semasa dia baharu berusia 4 tahun
Anak bongsu Kasiah, Wan Muhammad Syakir Wan Abd Manan, 8 menunjukkan gambar ayahnya yang hilang semasa dia baharu berusia 4 tahun
A
A
A

KUALA NERUS - Meskipun sudah memasuki tahun keempat suaminya gagal dijejaki selepas dilaporkan hilang di Pantai Kampung Teluk Ketapang sejak Februari 2017, namun Kasiah Harun, 46 berharap dan mendoakan suaminya,Wan Abd Manan Wan Ahmad ditemui suatu hari nanti.

"Kadang kala naluri seorang isteri terdetik juga yang dia memang sudah tiada, tetapi saya tetap akan terus berusaha mencarinya dan berharap dia akan ditemui.

"Saya akui sepanjang tempoh ' kehilangan' nya, memang hidup kami sekeluarga agak susah, kerana saya tidak bekerja. Sebelum ini saya berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga tetapi selepas Covid-19, perniagaan saya semakin merosot.

"Kini Alhamdulillah nasib anak-anak sudah besar, jadi mereka dapat membantu sedikit sebanyak menampung wang perbelanjaan harian kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Banggol Tuan Muda, di sini pada Sabtu.

Bercerita lebih lanjut, ibu kepada empat anak itu berkata, sepanjang tempoh kehilangan suaminya itu, dia cuba menyelesaikan urusan-urusan suaminya namun berdepan kesukaran terutama melibatkan urusan rasmi kerana tidak mempunyai sebarang dokumen membuktikan kematiannya.

Bagaimanapun katanya, selepas dia bertanyakan kepada pihak berkenaan berhubung perkara itu, mereka mencadangkan agar dia membuat permohonan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah bagi membolehkannya mendapatkan surat perakuan sekali gus membantunya menguruskan urusan berkaitan dengan suaminya.

Sebelum itu, Wan Abd Manan yang keluar menangkap ikan pada 18 Februari 2017 gagal ditemui sebelum pihak berkuasa yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa mengumumkan pencarian suaminya dihentikan selepas 10 hari gagal mencarinya.

Seramai 152 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan terbabit dalam operasi SAR yang dilakukan secara selaman dan pencarian di permukaan air meliputi kawasan sehingga ke perairan Pulau Redang, Bidong dan Kapas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun hanya bot yang dinaiki Wan Abd Manan ditemui terdampar di Pantai Teluk Ketapang termasuk barang peribadi miliknya seperti alat GPS dan selipar.

Justeru sekiranya ada mana-mana pihak yang mengenali atau pernah terserempak serta mengetahui lokasi terkini Wan Abd Manan berada diharap dapat menghubungi Kasiah menerusi talian 013- 9975604.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie negeri, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd berkata, bagi individu yang berdepan dengan masalah sedemikian, mereka boleh membuat permohonan anggapan mati kepada Mahkamah Syariah iaitu di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

"Permohonan anggapan mati boleh dibuat selepas tempoh empat tahun dan ke atas terhadap individu yang dilaporkan hilang serta gagal dijejaki," katanya ketika dihubungi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!