Kim Swee mampu pacu Sabah FC setanding gergasi Liga-M lain

Kim Swee
Kim Swee
A
A
A

DATUK Ong Kim Swee mampu membentuk Sabah FC menjadi setanding dengan kelab gergasi Liga Malaysia (Liga-M) lain susulan pelantikannya sebagai Ketua Jurulatih The Rhinos, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, pelantikan Kim Swee, 50, itu juga mencerminkan langkah serius Sabah FC untuk mengangkat sukan bola sepak di Sabah ke tahap yang lebih positif.

"SAFA sebagai badan induk bola sepak di Sabah sangat mengalu-alukan usaha yang diambil kelab tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Pada 29 Ogos lalu, Ketua Jurulatih Sabah Kurniawan Dwi Yulianto direhatkan daripada membimbing skuad The Rhinos, berikutan kemerosotan prestasi pasukan itu terutama dalam saingan Liga Super.

Manakala FAM mengumumkan peletakan jawatan Kim Swee sebagai pengarah teknikalnya, selepas mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan beliau ke jawatan baharunya itu berkuat kuasa 1 Oktober.

Kenyataan itu juga memaklumkan Kim Swee telah mengadakan perjumpaan dengan Bung Moktar di Kuala Lumpur pada Sabtu susulan penerimaan tugas baharunya dengan Sabah FC.

Bung Moktar berkata, sebagai badan induk bola sepak di Sabah, SAFA bertanggungjawab memantau prestasi Sabah FC agar ia tidak tersasar dari matlamat untuk meningkatkan mutu bola sepak di negeri ini.

"Peminat bola sepak mengharapkan Sabah FC sentiasa menunjukkan pencapaian yang baik dan pada masa yang sama, SAFA juga sejak dari awal penubuhan kelab profesional ini mahu ia terus cemerlang dalam sukan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Presiden SAFA itu yakin bahawa Sabah FC mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak di Sabah seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!