Pelaksanaan Undi 18 perlu seiring pendidikan demokrasi
KUALA LUMPUR - Pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan belia mencadangkan pelaksanaan Undi 18 perlu seiring dengan pendidikan mengenai sistem politik dan amalan demokrasi di negara ini khususnya kepada generasi muda.
Presiden Majlis Belia Malaysia, (MBM) Jufitri Joha berkata, walaupun MBM gembira dengan komitmen kerajaan hari ini untuk melaksanakan Undi 18 namun pada masa sama generasi muda perlu dididik bagaimana untuk menggunakan hak mengundi itu sebaik-baiknya.
“Dalam menyambut baik perlaksanaan ini, kita harus ingat ia bukan sahaja hak, tetapi merupakan satu tanggungjawab.
“Generasi muda harus dididik untuk memilih pemimpin yang betul dan beretika dan bukan sekadar mengikut rakan dan emosi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagi MBM Jufitri berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan Sekolah Politik 2.0 secara maya dalam membantu memberi pendedahan kepada belia mengenai sistem politik negara dan usaha berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada belia pelbagai kaum.
“Dengan penyertaan yang memberangsangkan ini, ia membuktikan generasi muda amat berminat untuk menjalankan hak mereka sebagai pengundi,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab memberikan maklumat secukupnya kepada generasi muda sebelum mereka menterjemahkan aspirasi mereka pada kertas undi secara bijaksana adalah tanggungjawab semua pihak.
Sementara itu, Jufitri yakin Undi 18 berkenaan mampu dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berasaskan kesungguhan usaha transformasi Parlimen yang diwar-warkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor pula berkata, pendidikan sistem politik dan kenegaraan sepatutnya dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran peringkat sekolah, dan diberikan seawal usia 16 tahun.
Beliau berkata, ia bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada generasi muda mengenai peranan mereka tentang pentingnya amalan sistem demokrasi di negara ini dipelihara dan dilaksanakan sebaik-baiknya.
“Guru-guru harus bersikap natural dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam memberi pendidikan ini secara menyeluruh. Ia juga perlu dijadikan sebagai sukatan mata pelajaran bagi mengelakkan guru dan pelajar daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Selain itu, Mohd Alif Anas juga mencadangkan kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya pada umur 18 tahun diselarikan dengan pelaksanaan Undi 18.
Beliau berkata, sekiranya semua pihak seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan perundangan berkerjasama dan berganding bahu mencari titik persefahaman, GPMS yakin Undi 18 ini mampu dijalankan pada PRU 15 nanti.
Dalam pada itu, Mohd Alif Anas berkata, SPR perlu mencari mekanisme terbaik untuk menjalankan pilihan raya dalam fasa pandemik.
“Kita faham kestabilan politik adalah kunci kepada sebuah kerajaan yang cekap. Oleh itu, kita perlu sedar pilihan raya perlu diadakan jika sampai pada waktunya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!