Dua remaja maut kereta dirempuh Triton lawan arus

Keadaan Proton Wira Aeroback yang dirempuh pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dalam kemalangan di 8.5 Kilometer Lebuh Raya Persekutuan di sini awal pagi Ahad.
Keadaan Proton Wira Aeroback yang dirempuh pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dalam kemalangan di 8.5 Kilometer Lebuh Raya Persekutuan di sini awal pagi Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua maut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di 8.5 Kilometer Lebuh Raya Persekutuan di sini pada awal pagi Ahad.

Mangsa maut ialah pemandu, Nur Afiqah Abd Karim, 18, beralamat di Taman Bayu Perdana Klang dan penumpang, Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, beralamat di Kelompok Camar, Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.58 pagi.

"Seramai lapan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Norazam berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun secara melawan arus bertembung dengan kereta dinaiki dua remaja berkenaan.

"Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa yang berada di bahagian hadapan tersepit dan cedera parah. Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa tetapi disahkan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Pemandu Mitsubishi Triton tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!