Lagu 'Selamanya Malaysia' bangkit semangat cinta negara
SHAH ALAM – Lagu patriotik 'Selamanya Malaysia' yang dilancarkan pada Sabtu dapat membangkitkan semangat kecintaan pendengar terhadap Malaysia kerana lirik yang mudah difahami dan dihayati.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ahmad Rithaudin Md Noor berkata, melodi lagu tersebut juga senang untuk diingati dan mempunyai struktur yang mudah dihafal dan dinyanyikan oleh pelbagai kumpulan umur dan etnik.
Ahmad Rithaudin memberitahu, lagu yang kontemporari itu sesuai dengan kehendak dan selera muzik masyarakat Malaysia kini.
“Visual yang relevan dalam video ini juga menguatkan lagi makna lagu ini dengan mengambil kira elemen multiculturalism (faham pelbagai budaya) di Malaysia.
“Selain itu, lagu ini juga amat relevan dengan situasi dalam negara melalui visual peristiwa terkini seperti pandemik dan sukan olimpik,” katanya ketika memberikan komentar mengenai video muzik lagu tersebut.
Mengulas lanjut Rithaudin bagaimanapun berpendapat, mungkin ada satu skala yang kurang kerana ada elemen rap yang tidak memungkinkan lagu itu dinyanyikan secara beramai-ramai.
“Secara keseluruhannya, lagu ‘Selamanya Malaysia’ dapat mencerminkan sentimen kecintaan pendengar terhadap tanah air melalui gabungan kreatif muzikal, bahasa, visual dan olahan kreatif yang sesuai dengan selera dan kehendak masyarakat Malaysia kontemporari,” jelas beliau.
Lagu 'Selamanya Malaysia' merupakan sebahagian daripada aktiviti Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 yang berlangsung pada 15 Ogos hingga 16 September ini yang dianjurkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Sinar Harian.
Video muzik lagu ini boleh disaksikan di saluran TV IKRAM melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=Zs4DiU7GQdM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!