Pembangkang diharap sambut usaha kerajaan henti berpolitik

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR -Persefahaman inklusif antara semua ahli Parlimen tanpa mengira parti demi memberikan prioriti utama rakyat adalah transformasi politik matang di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ia satu permulaan baik yang membuktikan bahawa kerajaan mempunyai keazaman politik demi rakyat, seiring dengan konsep Keluarga Malaysia untuk membina semula negara tercinta.

"Semua ahli kabinet telah mempersetujui secara konsensus bahawa perlunya kerajaan mengajak pembangkang bersama kerana kita perlu mengutamakan rakyat dan negara.

"Satu persefahaman sebegini antara kerajaan dan pembangkang adalah agenda yang akan membawa satu makna yang amat besar kepada negara, khasnya rakyat, dan akan membawa impak yang besar dengan segala pembaharuan yang akan kita perkenalkan.

"Ia merupakan satu permulaan, namun saya berkeyakinan kerajaan hari ini mempunyai keazaman politik untuk membawa transformasi politik di mana wakil-wakil rakyat bersama untuk menyelesaikan isu-isu rakyat demi kelangsungan hidup," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Annuar, persefahaman politik yang akan dicapai dijangka dapat mengubah lanskap politik negara dalam masa depan.

Terutamanya ketika negara berada dalam Pelan Pemulihan Negara dari fasa pandemik ke endemik.

"Kerajaan sekarang berasakan amat perlu kita berjiwa besar untuk mengajak semua ahli Parlimen pembangkang untuk bersama memainkan peranan membantu rakyat yang sedang dibelenggu krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan ini meletakkan rakyat sebagai prioriti yang paling utama dan bertegas mengenepikan 'politicking' untuk kesejahteraan semua tanpa mengira fahaman politik," katanya lagi.

Usaha itu jelasnya lagi diharapkan dapat disambut dan diterjermahkan menjadi realiti oleh semua ahli Parlimen agar fokus sebenar diberikan kepada pemulihan negara.

"Saya juga mengalu-alukan kecenderungan para pembangkang untuk menyambut seruan kerajaan untuk bersama dalam persefahaman ini demi rakyat, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua-ketua parti Pakatan Harapan di dalam satu kenyataan media pada September 11.

"Saya berharap kecenderungan ini dapat diterjemahkan menjadi realiti secepat mungkin, supaya Keluarga Malaysia tidak lagi dibelenggu kesan dari 'endless politicking' dan rakyat dapat memfokuskan segalanya untuk kelangsungan hidup dan menjana ekonomi," kata Annuar lagi. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!