Remaja di Terengganu akan divaksin akhir bulan ini: Adham
KUALA TERENGGANU – Pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada 93,262 remaja yang layak di Terengganu dijangka bermula pada hujung bulan ini selepas imuniti kelompok populasi dewasa berjaya dicapai.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini Terengganu telah berjaya mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sebanyak 66.73 peratus dengan 90 peratus telah menerima dos pertama.
“Berdasarkan data ini, Terengganu dijangka mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi pada minggu akhir bulan September ini dan seterusnya dapat mulakan program vaksinasi untuk golongan remaja.
“Saya akan berhubung dan bincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mulakan vaksinasi kepada remaja dan sekiranya dibenarkan, ia mungkin dilaksanakan pada akhir bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Outreach Vaksinasi di rumah penduduk yang tidak dapat hadir menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) kerana beberapa faktor di Kampung Losong, di sini pada Ahad.
Dalam kunjungan itu, Dr Adham turut memberikan suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada Jasmi Azmil Abdullah, 23, yang menghidap penyakit palsi serebral.
Palsi serebral adalah sejenis penyakit kelumpuhan otak yang menyebabkan gangguan pada gerakan dan koordinasi tubuh.
Menurut Dr Adham, mengikut perancangan awal, pemberian suntikan vaksin kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun akan diadakan di sekolah di seluruh Terengganu.
Terengganu jelas beliau, bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 643,187 dos lagi pada bulan ini seiring dengan usaha negeri ini melaksanakan program vaksinasi secara terus (walk in) di 14 PPV seluruh negeri.
“Setakat ini, pemberian kumulatif dos vaksin di Terengganu adalah lebih 1.3 juta yang melibatkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan individu dengan komorbiditi iaitu mereka yang menghidap dua atau lebih secara serentak pada masa yang sama,” katanya.
Mengulas mengenai kadar pemberian vaksin yang masih rendah di beberapa negeri, Dr Adham berharap lebih banyak program outreach dan mobile dapat diadakan bagi memastikan penduduk menerima vaksin.
Usaha itu katanya penting bagi memastikan sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin pada hujung September dapat dicapai.
“Melalui maklumat dikumpulkan pusat kesihatan daerah, ketua jajahan serta ketua masyarakat, masih ada yang tidak mendaftar dalam MySejahtera dan mereka inilah yang perlu kita cari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!