Aktiviti pembersihan kawasan Bukit Tabur milik individu
SHAH ALAM - Aktiviti pembersihan hutan yang dikesan di lereng Bukit Tabur berhampiran Permatang Kuarza, Hulu Klang dilakukan di atas tanah milik individu.
Bagaimanapun Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, pemilik tanah tersebut tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi kerja-kerja pembersihan kawasan itu.
"Hasil semakan juga mendapati jarak terhampir antara hutan simpan dan tanah milik individu tersebut adalah lebih kurang 30 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Loy Sian berkata, semakan dan penelitian itu dijalankan Pejabat Renjer Hutan Gombak bersama Pejabat Tanah dan Daerah Gombak.
"Aduan berkaitan pembersihan hutan telah diterima melalui Facebook Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) pada Jumaat.
Peka sebelum ini memuat naik status di Facebook beberapa gambar yang menunjukkan sedang berlaku aktiviti pembersihan hutan di pinggir Bukit Tabur berhampiran Permatang Kuartza, Genting Klang.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, kerja-kerja pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Bukit Tabur telah dihentikan hasil siasatan pihak berkuasa.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di laman Twitternya pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil semakan lanjut dilakukan MPAJ dan Pejabat Daerah Gombak mendapati tiada sebarang kelulusan diberikan untuk aktiviti pembangunan di kawasan terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerja pembangunan di Bukit Tabur dihentikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!