Rakyat perlu ubah persepsi terhadap wakaf
SHAH ALAM - Rakyat di negara ini perlu mengubah persepsi lazim terhadap institusi wakaf yang hanya sinonim dikaitkan dengan tiga perkara iaitu masjid, sekolah agama atau madrasah serta tanah perkuburan.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia (Yawatim), Dr Mazlan Ahmad berkata, perubahan pemikiran itu perlu dilakukan kerana insitusi wakaf boleh menjadi instrumen untuk membangunkan ekonomi umat Islam.
Menurutnya, institusi wakaf kini dilihat berpotensi untuk memainkan peranan lebih menyeluruh terhadap kehidupan seharian umat Islam.
“Contohnya di Kelantan cerita mengenai wakaf utiliti seperti wakaf air, wakaf elektrik, wakaf kesihatan dan wakaf universiti,” katanya dalam program ‘Diskusi Pembangunan Ekonomi Rakyat’ yang diadakan di bawah Kongres Ekonomi Rakyat (KER) Sekretariat Kongres Rakyat 2.0 secara maya pada Ahad.
Dalam pada itu, Mazlan yang merupakan Ahli Lembaga Amanah, Perbadanan Wakaf Nasional Berhad berkata, dengan perkembangan terbaharu tersebut, institusi berkenaan kini sudah berupaya meneroka projek berasaskan wakaf yang turut menumpukan pembangunan usahawan wakaf.
Beliau yang juga ahli komuniti pelaburan kewangan bersama Yayasan Wakaf Malaysia berkata, ia termasuk usahawan wakaf yang memiliki potensi untuk terlibat dalam sektor pembangunan rumah pintar serta dron.
“Kami mempunya peruntukan sendiri untuk memperkasakan atau mendanakan projek yang berasaskan wakaf. Kami telah melakukan perbincangan dengan beberapa institusi baik di luar mahupun dalam negara.
“Ada beberapa bank sedang dalam perbincangan mengenai bagaiman mereka boleh menyediakan dana agar setiap usahawan wakaf boleh bergerak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!