Pengarah filem jadi pekebun sayur

Penggiat seni berusia 47 tahun itu mula menceburi bidang pertanian dengan menanam sayur-sayuran seperti sawi, bayam dan limau serta menjualnya bagi meneruskan kehidupan.
Penggiat seni berusia 47 tahun itu mula menceburi bidang pertanian dengan menanam sayur-sayuran seperti sawi, bayam dan limau serta menjualnya bagi meneruskan kehidupan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banyak sektor pekerjaan terkesan susulan pandemik Covid-19 dengan industri perfileman negara juga tidak terkecuali daripada dugaan itu.

Kerana itu, Shunmugam Karuppannan atau lebih dikenali sebagai Shan terpaksa meninggalkan sementara kerjayanya sebagai pengarah filem dan penulis skrip apabila aktiviti hiburan dihentikan susulan negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak beberapa bulan lepas.

Penggiat seni berusia 47 tahun itu mula menceburi bidang pertanian dengan menanam sayur-sayuran seperti sawi, bayam dan limau serta menjualnya bagi meneruskan kehidupan.

"Selepas tidak boleh melakukan sesi penggambaran akibat Covid-19, hidup saya mula agak merana. Duit simpanan saya juga sudah habis, jadi saya mula bercucuk tanam.

"Saya tanam sayur-sayuran di kebun rakan saya dan menghantar hasil tanaman itu terus ke rumah pembeli," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Shan pernah memenangi Malaysian Video Awards pada 2000 bagi filem pendek bertajuk 'No worry chicken curry' manakala dua anugerah pada 2001 bagi filem pendek 'Me, my mother and mosquito' dan 'Oh my goat'.

Beliau juga pernah berjaya mengungguli Anugerah Skrip Skrin Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 2018 bagi pesanan khidmat awam (PSA) berjudul 'Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu'.

Beliau yang berkecimpung lebih 20 tahun dalam industri kreatif tanah air mengakui walaupun agak malu dan resah pada awalnya namun mula menggemari bidang baharunya sekali gus mempelajari perkara baharu dalam hidupnya.

Artikel Berkaitan:

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu yang menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran melalui Facebooknya yang dinamakan 'Dari Seni Ke Tani', berkata meskipun tidak memperoleh pendapatan yang lumayan tetapi mencukupi untuk menyara isteri dan dua anaknya.

Sementara itu, Shan, yang gembira dengan kebenaran yang diberikan kepada penggiat industri kreatif yang lengkap vaksinasi untuk kembali bergiat berkata, beliau akan kembali ke industri tersebut sambil ‘beraksi’ di kebun ketika masa lapang.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu PPN bagi industri kreatif, termasuk penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio serta aktiviti panggung wayang, yang dibenarkan beroperasi semula bermula 9 Sept lepas.Shunmugam turut mendedahkan beliau sedang dalam persediaan menghasilkan sebuah novel.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!