Tindakan kepada guru enggan ambil vaksin sedang dibincang
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melihat tindakan selanjutnya kepada guru-guru yang enggan mengambil vaksin.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, buat masa ini, guru-guru yang tidak divaksin tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka di dalam kelas.
“Guru-guru yang tidak ingin divaksinkan kita kena ingat ada dua kumpulan.
“Yang pertama, memang masih belum terima vaksin atas sebab kesihatan yang dinasihatkan oleh doktor dan satu lagi mereka yang memilih untuk tidak divaksinkan,” katanya dalam sidang media mengenai pengoperasian sekolah pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, dari segi rekod, kira-kira 2,500 guru yang tidak mahu divaksinkan.
Disebabkan itu, pihaknya kini sedang melihat apakah tugasan yang akan diberikan kepada mereka.
“Jumlahnya tidak ramai. Tak semua sekolah. Mungkin satu sekolah tidak ada guru yang tak nak divaksin, semua divaksinkan.
“Tugas untuk mereka ini kita akan tetapkan termasuklah dalam konteks tertentu untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, mereka yang berada di sekolah mestilah divaksinkan.
“Kita telah keluarkan arahan kepada semua pengusaha-pengusaha khususnya membabitkan sektor kebersihan, keselamatan dan kantin memastikan semua pekerja mereka yang berkhidmat di sekolah mesti divaksinkan,” katanya.
Bagi pemandu bas atau van, Mohd Radzi berkata, KPM telah mendapatkan senarai daripada Kementerian Pengangkutan agar mereka termasuk dalam senarai divaksinkan.
“Namun begitu ibu bapa perlu memberi perhatian mungkin pemandu yang membawa anak-anak mereka itu tidak berada dalam senarai yang diberikan kepada pihak kami.
“Kami mohon kepada ibu bapa membuat pilihan dan tindakan yang sewajarnya.
“Apa yang kami ingin tekankan di sini adalah apabila kita buka sekolah kelak keseluruhan ekosistem dalam kalangan anak-anak kita ini pada umumnya telah divaksinkan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!