Hijau Kuning ke pentas Asia

Kipre (kiri) menjaringkan dua gol manakala Baddrol (tengah) menjaringkan satu gol membantu KDA FC atasi MU FC 4-1 di Stadium Darul Aman pada Ahad. - Foto Kedah Darul Aman FC
Kipre (kiri) menjaringkan dua gol manakala Baddrol (tengah) menjaringkan satu gol membantu KDA FC atasi MU FC 4-1 di Stadium Darul Aman pada Ahad. - Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengesahkan gelaran naib juara Liga Super 2021 milik mereka selepas menewaskan Melaka United (MU) FC 4-1 di Stadium Darul Aman pada Ahad.

Kemenangan yang diraih oleh anak buah Aidil Shahril itu menyaksikan Hijau Kuning sekali lagi menempah satu slot pentas Asia apabila layak beraksi di Piala AFC 2022.

Pada perlawanan tersebut, MU FC terlebih dahulu mencemaskan tuan rumah apabila tandukan Giovane Da Silva hampir meletakkan bola di dalam gol KDA FC namun berjaya ditepis keluar oleh Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-4.

Penyerang berbisa KDA, Tchetche Kipre berpeluang meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-18 KDA FC namun percubaannya terkena kaki pertahanan pelawat yang menghadangnya di hadapan pintu gol.

Pada minit ke- 23, Kipre akhirnya berjaya meletakkan KDA FC di hadapan 1-0 selepas menyambut baik hantaran Fazrul Danel untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Norazlan Razali.

Pelawat terus menerima tekanan apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-28, selepas pertahanannya, Faris Shah Mohd Rosli menjatuhkan ketua pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar di dalam kotak penalti.

Kipre tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti bagi menjarakkan kedudukan kepada 2-0 selepas selang seminit kemudian dan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

MU FC kembali mengatur serangan sebaik separuh masa kedua melalui gerakan yang dilakukan oleh Norde dan Da Silva namun kubu tuan rumah sukar untuk ditembusi.

Artikel Berkaitan:

Namun usaha berterusan pelawat membuahkan hasil apabila Adriano Narcizo berjaya merapatkan jurang gol kepada 2-1 selepas memanfaatkan hantaran Khairul Anwar Shahrudin ke dalam kotak penalti pada minit ke-59.

Tuan rumah kembali lega apabila Baddrol berjaya menjarakkan jurang kepada 3-1 pada minit ke-66 dengan menolak bola masuk ke dalam gol selepas menyambut baik hantaran Kipre.

KDA FC terus selesa apabila selang empat kemudian, pemain gantian, Fayadh Zulkifli Amin meletakkan tuan rumah 4-1 di hadapan apabila menendang masuk bola yang ditepis keluar oleh Norazlan yang menyelamatkan percubaan Kipre.

Pada minit ke-70, Ifwat Akmal berjaya menumbuk keluar percubaan tepat di dalam kotak penalti oleh pemain lawan, Fakhrullah Rosli bagi menghampakan pasukan lawan.

MU FC berusaha untuk bangkit bagi merapatkan jurang gol namun keputusan 4-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!