Bahana ikut emosi
TINDAKAN agresif pemain dan pegawai Sarawak United FC yang menyerbu pengadil perlawanan pada aksi Liga Premier menentang Negeri Sembilan FC bakal mengundang hukuman berat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Insiden itu berlaku sejurus tamat perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat yang berkesudahan Negeri Sembilan FC meraih kemenangan 1-0.
Apa yang dilakukan oleh pegawai dan pemain Sarawak United itu jelas melanggar peraturan Kod Tatatertib FAM apabila bertindak menyerang pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria Ismail.
Malah, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram menegaskan tiada siapa yang akan terlepas dengan menganggap ia satu tindakan serius jika pegawai dan pemain menyerang pegawai perlawanan.
Bagi jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, FAM sudah tentu akan menjatuhkan hukuman berat kepada Sarawak United berdasarkan rakaman video aksi ‘serangan’ terhadap pengadil itu.
Menurutnya, apa juga alasan yang diberikan oleh pemain dan pegawai Sarawak United, ia tidak ‘menghalalkan’ tindakan mereka untuk menyerang pengadil.
“Peraturan tetap peraturan. Kita faham rasa tidak puas hati mereka apatah lagi perlawanan itu berprofil tinggi. Tetapi, tindakan untuk menyerang pengadil adalah satu kesalahan yang besar.
“Mereka tidak seharusnya melakukan tindakan sebegitu dan jika tidak berpuas hati mereka perlu menggunakan saluran yang betul untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka itu kepada pengadil.
“Sekarang ini terpulang kepada FAM untuk meneliti semua apa yang telah berlaku, namun dari segi pemerhatian saya memang Sarawak United akan dikenakan hukuman berat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Insiden sebegini bukanlah kali pertama terjadi dalam kancah Liga Malaysia, sebaliknya berulang kali berlaku membabitkan insiden pengadil diserang pemain atau pegawai.
Jika rekod keputusan yang telah dijatuhkan FAM sebelum ini, pemain dan pegawai Sarawak United akan berdepan hukuman yang menyaksikan penggantungan sekurang-kurangnya empat perlawanan selain denda.
Sebagai contoh, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa digantung dua perlawanan dan denda RM10,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas bersalah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!