Hargailah ‘kebebasan’ bila negeri beralih Fasa 2
PENGUMUMAN kawasan Lembah Klang beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah pasti berita yang cukup dinanti-nantikan.
Mana tidaknya, dua tahun kita berkurung dan bergelut dengan prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah sebelum ini, berganjaknya pelan pemulihan ke fasa dua di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya diharap menjadi penanda aras kepada titik peralihan sebenar negara daripada wabak Covid-19 ini.
Mengumumkan berita gembira itu minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 Rabu lalu bersetuju membenarkan peralihan ke fasa dua bagi ketiga-tiga kawasan itu berkuat kuasa Jumaat lalu.
Belum habis meraikan kelonggaran boleh makan di kedai, panggung wayang kembali dibuka, sekarang dapat lampu hijau boleh pergi bercuti pula. Siapa yang tak seronok. Betul-betul macam dapat durian runtuh!
Bagi pemain industri di Lembah Klang, sudah pasti pengumuman kerajaan ini sangat dinanti-nantikan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, pihaknya sudah bersiap sedia menerima pengunjung dengan tahap pematuhan SOP yang tinggi.
Pematuhan kepada SOP, katanya, menjadi panduan utama industri itu demi memastikan hotel bukan sahaja selamat untuk penginapan, malah tempat makan dan penganjuran acara.
Hotel-hotel juga sudah bersiap sedia sejak awal dengan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP yang tinggi untuk meminimumkan risiko jangkitan kakitangan dan pengunjung, jelas beliau.
Seperti industri hospitaliti lain, kebenaran beroperasi bagi panggung wayang sudah tentu memberi nyawa kepada pemilik untuk memulihkan perniagaan mereka selepas mengalami kerugian sejak penularan Covid-19 tahun lalu.
Sudah tentu banyak persediaan perlu dibuat termasuk kembali menggaji pekerja, urusan penayangan semula filem tertangguh sebelum ini termasuklah ketetapan lain dalam memastikan kelancaran operasi dengan SOP ketat kepada individu lengkap dua dos vaksin.
Di sebalik banyak tugasan menanti, inilah detik yang ditunggu-tunggu untuk menjana kembali pendapatan yang terjejas teruk sebelum ini.
Ketika pelbagai sektor kembali rancak beroperasi, cuma satu pesanan penulis, jangan lupa kita masih dalam fasa pemulihan melawan musuh yang terus bermaharajalela.
Jangan kita mudah lupa, lebih 19,000 rakyat kita terkorban akibat wabak durjana ini.
Barang diingat, SOP dibuat untuk dipatuhi dan kita belum kebal Covid-19 waima anda sudah lengkap dua dos vaksin!
Janganlah pula kita lupa diri umpama kera dapat bunga. Peralihan PPN ke fasa kedua di Lembah Klang ini hakikatnya bukanlah tiket untuk kita bebas melakukan apa sahaja tanpa batas dan kawalan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata, peralihan ke fasa endemik bukan bermakna negara sudah mengaku kalah dengan wabak Covid-19.
Sebaliknya, ujar beliau, berikutan kemunculan varian Delta serta pelbagai varian baharu, saintis di seluruh dunia mengatakan sukar untuk mencapai imuniti kelompok.
Sehubungan itu, jelas Khairy, negara perlu menerima hakikat mungkin pengakhirannya adalah peringkat endemik.
“Kita bukan mengaku kalah tetapi mengadaptasi dengan realiti di luar,” tegas beliau.
Kepada penduduk Lembah Klang, malah di mana jua anda berada, hargailah sedikit kebebasan yang kita miliki hari ini dengan syukur dan kekallah berdisiplin.
Bagi rakyat yang merancang bercuti bersama keluarga, jagalah penjarakan fizikal, pakailah pelitup muka setiap masa selain bawa cecair pembasmi kuman.
Gagal patuh kepada SOP, bermakna kita hanya memperjudi nasib kita untuk sebuah masa depan yang gelap, itu sudah pasti!
* Salmiah Druhamad Drahsin ialah Ketua Unit Media Sosial Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!