Ambillah iktibar isu solat Jumaat di Masjid Putra
SEHARI dua ini kita dihidangkan dengan kisah orang kenamaan atau VIP diberikan keutamaan memasuki masjid bagi menunaikan solat Jumaat tanpa perlu beratur panjang sebagaimana orang kebanyakan.
Satu rakaman video yang mula tular pada Sabtu menunjukkan seorang individu diiringi dua pengawal keselamatan memasuki ruang Masjid Putra, Putrajaya tanpa perlu beratur seperti orang lain.
Berdasarkan apa dituturkan oleh individu yang merakam video itu, dia menyatakan bahawa mereka telah beratur sejak jam 12 tengah hari namun belum dapat memasuki masjid berkenaan.
Perkara itu mendapat perhatian warganet yang rata-rata menyatakan belas ihsan perlu diberikan kepada mereka yang tiba lebih awal lebih-lebih lagi yang beratur itu adalah mereka yang berusia.
Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan kuota sedikit diperuntukkan oleh pihak pengurusan Masjid Putra iaitu 300 jemaah bagi solat Jumaat sedangkan rumah ibadat itu berkapasiti 15,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Semua sedia maklum, dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik Covid-19, kehadiran jemaah ke masjid dihadkan atas faktor keselamatan.
Namun, berdasarkan kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin seperti yang diumumkan kerajaan pada Ogos lalu, antara perkara yang disenaraikan ialah aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi penerima lengkap dua dos vaksin.
Sepatutnya pihak pengurusan mana-mana masjid yang mempunyai kapasiti besar membenarkan lebih ramai jemaah untuk hadir menunaikan solat Jumaat.
Sebenarnya klip video yang tular di Masjid Putra perlu membuka mata setiap pengurusan masjid di negara ini untuk membenarkan lebih ramai jemaah turut serta tatkala negara merekodkan lebih 16,856,812 individu atau 51.6 peratus daripada populasi keseluruhan sudah melengkapkan dua dos suntikan pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!