Agong titah kerajaan lipat gandakan usaha perangi Covid-19
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan yang baharu dibentuk hendaklah segera melipat gandakan usaha memerangi Covid-19 sekali gus membawa negara dan rakyat keluar daripada ancaman pandemik itu.
Seri Paduka Baginda bertitah, perkara itu dapat dicapai dengan melaksanakan budaya kerja berprestasi tinggi dan fokus berterusan.
"Kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik Covid-19 dan membawa negara serta rakyat beta keluar daripada ancaman pandemik ini.
"Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama," titah Seri Paduka Baginda dalam pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin.
Perasmian itu diadakan serentak bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!