Tepukan gemuruh untuk petugas barisan hadapan, atlet negara
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak ahli Dewan Rakyat berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal di negara ini.
Penghargaan itu diberikan bagi menghargai jasa dan pengorbanan kumpulan itu dalam memerangi Covid-19.
Al-Sultan Abdullah dalam masa sama turut mengajak semua ahli Dewan Rakyat memberikan tepukan gemuruh untuk atlet Paralimpik dan Olimpik yang mencipta kejayaan di kedua-dua acara sukan terbesar dunia itu.
"Pada kesempatan ini Beta ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan para atlet negara di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang telah berjuang mengharumkan nama negara dengan berbekalkan sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia.
"Ketika negara berhadapan saat getir mengharungi pandemik Covid-19, petugas barisan hadapan khususnya perkhidmatan kesihatan terus berusaha keras mencurah khidmat tanpa mengenal penat dan lelah serta berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam sebuah landskap tempoh pandemik yang panjang.
"Justeru, marilah kita terus menyokong dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal lain atas perkhidmatan mereka yang tiada bandingannya," titah Seri Paduka Baginda dalam pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin.
Perasmian itu diadakan serentak bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!