Asrama pekerja kilang terbakar
SEREMBAN - Sebuah bilik asrama pekerja kilang bateri di kawasan Perindustrian Arab Park Nilai musnah dalam kebakaran pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.12 pagi dan sampai ke lokasi pada jam 8.23 pagi.
Katanya, sebaik sampai ke lokasi kejadian, didapati sebuah bilik asrama dipenuhi asap tebal.
"Kebakaran melibatkan katil, tilam dan almari pakaian sahaja, tidak melibatkan kecederaan mahupun kemalangan jiwa.
"Asrama yang berada di tingkat satu itu musnah hampir 60 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya di sini pada Isnin.
Katanya, sebanyak empat jentera bersama 21 anggota dan empat pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 8.43 pagi.
Bakarya berkata, pihaknya turut menerima bantuan dari Balai Bomba Seremban 2 dan Balai Bomba Mantin bagi memadamkan kebakaran tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!