Jurugambar dihukum jel 15 tahun akhirnya dibebaskan
BENGHAZI - Seorang jurugambar dibebaskan di timur Libya dari sebuah penjara selepas ditahan di Ajdabiya pada Disember 2018 di sebuah bandar di bawah seorang Komander Tentera Kebangsaan negara itu, Khalifa Haftar, kata sumber pada Ahad.
Jurugambar berkenaan, Ismail Abuzreiba al-Zway sebelum ini dihukum selama 15 tahun oleh sebuah tribunal tentera pada Mei tahun lalu kerana berkomunikasi dengan sebuah stesen televisyen yang menyokong 'keganasan.'
Menurut laporan Human Right Watch (HRW) pada tahun lalu, stesen televisyen itu dikatakan milik swasta iaitu Al-Nabaa.
Sumber itu memberitahu, Ismail telah dibebaskan pada Sabtu lalu selepas satu pengampunan diberikan atas arahan tentera yang setia dengan Khalifa Haftar.
Seorang penyelidik, Hanan Saleh dari HRW Libya membuat ciapan di Twitter dengan menyatakan jurugambar tersebut dibebaskan selepas tiga tahun dipenjarakan.
Keputusan hukuman penjara ke atas Ismail itu dibuat oleh sebuah tribunal tentera yang melakukan perbicaraan secara rahsia.
Penangkapan jurugambar itu sebelum ini mendapat bantahan Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSMIL) kerana dia dianggap mencabul undang-undang Libya dan kebebasan bersuara serta hak untuk mendapat perbicaraan yang adil. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!