Pekerja kilang maut tersepit jentera 'spin chiller'
BATU PAHAT - Seorang pekerja am maut akibat tersepit pada jentera 'spin chiller' di sebuah kilang memproses produk ayam sejuk beku di Jalan Ayer Hitam dekat sini pada Sabtu.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat, kejadian berlaku pada jam 9 pagi semasa lelaki warga tempatan berusia 40 itu menjalankan kerja-kerja pembersihan jentera kilang.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pekerja am bersama dua rakan sekerjanya ditugaskan untuk menjalankan kerja pembersihan jentera kilang.
"Tiada operasi pengeluaran dijalankan pada hari kejadian. Ketika mangsa menjalankan kerja pembersihan pada jentera 'spin chiller' berseorangan, mangsa terjatuh ke dalam ruang jentera itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Akibatnya kata Husdin, mangsa dihimpit 'screw conveyor spin chiller' sebelum operasi jentera dimatikan rakan sekerja selepas melihat kaki mangsa dari dalam jentera.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir melakukan pemeriksaan.
Susulan itu katanya, JKKP Johor telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.
Katanya, JKKP telah mengeluarkan notis larangan kepada majikan atas kegagalan untuk memastikan jentera berkenaan.
"'Chiller' dikendalikan dengan selamat dan kegagalan untuk mengadakan sistem kerja selamat khususnya sistem lockout/tagout (Loto) bagi kerja pembersihan jentera.
"Majikan juga diarahkan untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja pembersihan jentera termasuklah mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko," katanya.
Jelasnya, ini termasuk latihan diperlukan pekerja yang terdedah dengan risiko ketika membersih jentera tersebut.
"Jabatan juga mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan segera bagi menjalankan siasatan dalaman. Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Jabatan bagi melengkapkan hasil siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!