Hamilton bersyukur terselamat dalam nahas
JUARA tujuh kali Formula One, Lewis Hamilton bersyukur apabila terselamat apabila terlibat dengan nahas bersama pesaing utamnay, Max Verstappen pada saingan Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza pada Ahad.
Menurut Hamilton, halo (bar titanium yang dipasang di sekeliling tempat duduk pemandu) pada jenteranya turut berperanan bagi melindungi dirinya daripada mengalami kecederaan lebih serius selain boleh terbunuh akibat nahas berkenaan.
“Saya sangat bersyukur kerana bernasib baik dan terselamat pada nahas kali ini. Saya bersyukur kepada tuhan.
“Saya juga lega kerana alat pelindung topi keledar (halo) saya turut membantu bagi menyelamatkan saya terutamanya melindungi bahagian leher saya agar tidak cedera.
“Saya tidak kisah terlibat dalam kemalangan sebelum ini, tetapi nahas kali ini memang mengejutkan saya, namun saya sangat bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk ‘hidup’ selepas terlibat dalam nahas dahsyat ini,” katanya.
Untuk rekod nahas berkenaan menyaksikan kedua-dua pelumba berkenaan tersingkir daripada perlumbaan kali ini.
Sekali gus, menyaksikan pelumba McLaren Daniel Ricciardo muncul juara dengan catatan masa 1 jam 21 minit 54.365 saat.
Nahas berkenaan bagaimanpun menyaksikan Verstappen terus berada pada kedudukan pertama dengan 226.5 mata hasil tujuh kemenangan manakala Hamilton mengekori rapat pada kedudukan kedua dengan 221.5 meter hasil empat kemenangan setakat ini.
Bagaimanapun, HamiLton mengakui dia merasai sedikit kesakitan di bahagian leher akibat nahas berkenaan dan bakal menemui pakar perubatan menjelang perlumbaan seterusnya di Russia pada 26 September.
"Saya benar-benar rasa dirahmati kerana saya masih di sini dan berpeluang menyertai perlumbaan ini lagi. Lagi pun, saya telah lama berlumba dan sering berdepan dengan pelbagai risiko di sepanjang masa.
"Namun, ada ketikanya anda akan merasai pengalamanan yang benar-benar mengejutkan dan akan membuatkan anda merenung semula kehidupan anda dan sekali gus menyedarkan anda betapa masih banyak perkara yang masih belum sempat anda lakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!