PPV di Perak dibuka untuk 'walk-in' bagi individu 18 tahun ke atas

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Semua pusat pemberian vaksin (PPV) awam di Perak dibuka untuk individu berusia 18 tahun ke atas bagi mendapatkan vaksin Covid-19 secara jumpa terus (walk-in) mulai Isnin, kata Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Beliau berkata, pemberian vaksin juga dibuka kepada individu bukan warganegara sama ada mempunyai atau tiada dokumen di kesemua 23 PPV awam di seluruh negeri.

“Usaha ini dilakukan supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan diharapkan semua pihak memainkan peranan untuk melancarkan proses orang ramai yang hadir bagi vaksinasi secara ‘walk-in’ di PPV awam ini,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Beliau berkata, individu yang belum menerima janji temu vaksinasi di aplikasi MySejahtera dialu-alukan untuk mendapatkan suntikan, namun individu terawal diutamakan bagi slot harian.

Katanya, orang ramai yang hadir ke PPV perlu memastikan mereka tidak bergejala, bukan kontak rapat dan bukan dalam tempoh kuarantin.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan Perak menyasarkan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada bulan hadapan.

Sasaran itu berdasarkan beberapa strategi yang dirangka kerajaan negeri menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mempercepat proses pemberian vaksin kepada seluruh lapisan rakyat di setiap pelosok negeri.

Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), seramai 1.6 juta iaitu 85.5 peratus daripada populasi di Perak telah mendaftar untuk vaksinasi, manakala 1.4 juta atau 57.2 peratus telah menerima dos pertama suntikan di 45 lokasi PPV setakat 9 September lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!