Polis Kedah rampas heroin RM1.4 juta
ALOR SETAR - Polis Kedah merampas kira-kira 15 kilogram dadah mampat jenis heroin base yang dibawa dari negara jiran bernilai RM1.4 juta di Jalan Kampung Changhai, Changloon pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kedah telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Corolla warna biru di hadapan sebuah rumah pada jam 11 pagi.
Menurutnya, polis telah mengarahkan pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun turun dari kenderaan sebelum pemeriksaan rapi dilakukan di bahagian bonet kereta tersebut.
"Hasil pemeriksaan menjumpai satu beg galas mengandungi 40 ketulan mampat warna putih disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan lebih kurang 15,023.75 gram.
"Turut dijumpai satu paket plastik warna ungu mengandungi 110 biji pil warna merah dan empat biji pil warna hiijau yang semuanya bertulis WY dengan anggaran berat 12 gram dan tangkapan telah dibuat terhadap lelaki tersebut," katanya pada sidang akhbar di IPK Kedah, dekat sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan yang dilakukan, pihaknya telah menahan seorang lagi lelaki berusia 37 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang, Mukim Temin, Changloon pada jam 2 petang hari yang sama.
Menurutnya, suspek telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang sama dan jika bahan larangan tersebut siap diproses dan terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan sehingga kira-kira 900,000 penagih.
"Polis turut menyita sebuah motokar jenis Mitsubishi, seutas rantai, seutas gelang dan wang tunai yang nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM47,149," ujarnya.
Kamarul Zaman berkata, hasil ujian urin terhadap suspek yang bekerja sebagai juruelektik dan pemandu lori itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula 11 September hingga 17 September untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Tambahnya, dadah tersebut dibawa oleh sindiket dari negara jiran untuk dibawa ke pasaran selatan negara ini.
"Kita masih mengenal pasti laluan yang digunakan sindiket ini untuk membawa dadah tersebut ke negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!