Lantik wanita salah seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat
SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat perlu merangkumi salah seorang wanita sama ada dari Sabah dan Sarawak atau Semenanjung selain melibatkan sekurang-kurangnya 30 peratus kaum itu sebagai penggubal dasar dan pembuat keputusan dalam pentadbiran negara.
Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, saranan itu selaras dengan 20 cadangan transformasi Parlimen yang digariskan calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, ia adalah wajar dengan hala tuju dasar-dasar negara untuk mengarusperdanakan peranan wanita dalam semua urus tadbir dan ke arah merapatkan jurang gender dalam pentadbiran.
"Wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara dan peranan 30 peratus wanita ini tidak boleh diabaikan untuk membawa negara ke status yang kita ingini.
"Ahli Parlimen Pontian (Ahmad Maslan) juga telah mencadangkan dan mendorong penyertaan wanita dalam Program Belia dan Siswazah. Sasaran 30 peratus wanita dalam program ini mesti diwajibkan.
“Cadangan mengemas kini Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Orders) perlu supaya ahli-ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan dan jenaka berunsur seksis serta menyinggung perasaan akan dikenakan pergantungan segera, denda dan hukuman yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Ahmad mengesyorkan 20 cadangan transformasi Parlimen termasuk melantik Timbalan Speaker ketiga yang dikhususkan kepada wakil pembangkang manakala seorang daripada tiga Timbalan Speaker itu seeloknya datang dari Sabah atau Sarawak.
Sementara itu, Zuraida turut memaklumkan bahawa beliau akan mengikuti persidangan Parlimen dari rumah kerana tersenarai sebagai kontak rapat dan perlu menjalani kuarantin kendiri sehingga Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!