Romelu Lukaku pelengkap Chelsea
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan Romelu Lukaku merupakan pelengkap kepada penyandang juara Liga Juara-Juara itu dalam misi mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut musim ini.
Malah menurut Tuchel, biarpun kelab London itu berjaya meraih kejuaraan berprestij kelab Eropah musim lalu, beliau percaya kehadiran Lukaku akan menjadikan The Blues antara pencabar kepada juara bertahan, Manchester City musim ini.
“Kehadiran Lukaku melengkapkan kesempurnaan Chelsea terutamanya di bahagian serangan yang sering berdepan ketumpulan sejak beberapa musim lalu.
“Personaliti dan keyakinan tinggi dimiliki Lukaku di depan pintu gol merupakan sesuatu yang diperlukan oleh kelab ini sebelum ini, terutama bagi saingan berintensiti tinggi seperti saingan Liga Perdana Inggeris ini.
“Lukaku juga selain lapar untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, juga sering memberikan bantuan gol kepada pemain-pemain Chelsea lain yang juga mempengaruhi rentak permainan pasukan,” kata Tuchel.
Musim lalu, Lukaku yang juga penyerang Belgium, tampil cemerlang bersama Inter Milan pada saingan Serie A apabila meledak 24 gol ketika membantu kelab tersebut menjulang kejuaraan liga.
Pemain berusia 28 tahun itu sekali lagi tampil cemerlang setelah berpindah ke Stamford Bridge, apabila meledak tiga gol bersama Chelsea ketika ini - satu gol ketika mengalahkan Arsenal 2-0 manakala dua gol lagi semasa menewaskan Aston Villa 3-0.
Anak buah Tuchel bakal mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara, apabila menyingkap tirai kempen peringkat kumpulan H, menentang kelab Rusia, Zenit St Petersburg di London pada awal pagi Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!