'Kejuaraan untuk keyakinan diri'
JUARA Terbuka Amerika Syarikat (AS), Daniil Medvedev menyifatkan kejayaan menewaskan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic pada perlawanan akhir sebagai inspirasi mengharungi kejuaraan lebih mencabar pada masa depan.
Malah menurut Medvedev, kejutan memenangi Grand Slam pertama juga secara tidak langsung mengembalikan semula keyakinan pemain berusia 25 tahun tersebut selepas mengharungi tiga perlawanan akhir sebelum ini.
“Kejuaraan untuk keyakinan diri dan masa depan karier saya apatah lagi sesungguhnya menewaskan pemain berstatus 27-0 di Grand Slam, saya tewas kepadanya di Terbuka Australia, dia kembali di New York untuk mencipta sejarah dan saya menafikannya.
“Sesungguhnya, kejayaan menafikan hajat dia untuk mencipta sejarah di Terbuka Amerika Syarikat merupakan satu kenangan terindah apatah lagi beraksi di gelanggang keras,” ujar naib juara Terbuka AS 2019 tersebut.
Pada perlawanan akhir itu, Medvedev yang berstatus pemain nombor dua dunia menewaskan Djokovic 6-4, 6-4, 6-4, sekaligus menafikan hasrat lawannya yang berusia 34 tahun itu untuk memecahkan rekod 21 kemenangannya kejuaraan utama.
Pemain nombor dua dunia dari Rusia itu mendominasi Djokovic menerusi kemenangan 6-4, 6-4, 6-4 di Stadium Arthur Ashe tersebut sekali gus menyaksikan pemain Serbia berkenaan kekal dengan rekod sama dengan Roger Federer dan Rafael Nadal di Grand Slam.
Untuk rekod, Djokovic tahun ini dalam kempen menyapu bersih gelaran di Terbuka AS, selepas garang di Terbuka Perancis, Terbuka Australia dan Wimbledon, yang kali terakhir dilakukan Rod Laver pada 52 tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!