Harap gimnasium, pusat kecergasan dibuka semula
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengoperasian pusat gimnasium, pusat kecergasan dan studio kecergasan tertutup dalam masa terdekat supaya pengusaha dapat beroperasi semula.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, beliau telah menulis surat kepada KBS mengenai permohonan pengoperasian semula pusat kecergasan berkenaan dan berharap SOP dapat ditetapkan dengan secepat mungkin.
Menurutnya, pandemik Covid-19 telah membawa impak yang besar terhadap sektor sukan, terutamanya fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup yang tidak dapat beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Memandangkan pihak MKN dan KBS telah memberi kelonggaran terhadap fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup untuk dibuka kepada individu yang telah melengkapkan vaksinasi, ia memang merupakan berita yang baik bagi pengusaha sektor sukan dan peminat sukan.
"Pembukaan pusat gimnasium dan pusat kecergasan adalah penting untuk membantu orang ramai mengekalkan kesihatan dan kecergasan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pemantauan pematuhan SOP di Penang Bowl, di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua dan Setiausaha Kehormat Persatuan Boling Pulau Pinang, Cheah Ban Cheng.
Sementara itu Lip Chee berkata, pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi tertutup harus sentiasa memastikan pengguna adalah individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Selain itu katanya, walaupun aktiviti bersentuhan dan berkumpulan telah dibenarkan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, namun orang awam diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan diri sendiri terjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!