Polis ambil tindakan tegas jika beriadah tanpa SOP
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai sekiranya didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya penjarakan fizikal ketika beriadah di tempat awam.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, tindakan tersebut akan diambil sekiranya keadaan tidak dapat dikawal dan pengunjung terlalu ramai.
“Kita tidak ada cadangan untuk menutup tempat awam yang didapati sesak kerana kita telah menyemak dan mendapati pengunjung datang daripada gelembung yang sama. Kita hanya akan meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan.
“PDRM menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama melibatkan warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Justeru itu, kita akan sentiasa membuat pemantauan dan hebahan dari masa ke masa dengan memberi nasihat agar mereka mematuhi SOP dan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam Op Patuh untuk membuat pemantauan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan.
Mastor berkata, kebanyakan yang berkunjung untuk beriadah dalam kalangan ahli keluarga yang datang bersama atau tinggal bersama dan lokasi berkenaan hanya sesak pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.
Tular di media sosial beberapa video atau foto yang menunjukkan orang ramai bermandi-manda di sungai selain mengunjungi taman rekreasi tanpa penjarakan fizikal pada hujung minggu lepas.
Bermula Jumaat lepas, kerajaan telah memberi kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi termasuk berkelah dan bersukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!