Shahidan uji kesiapsiagaan Putrajaya Command Centre

Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesiapsiagaan ‘Putrajaya Command Centre’ (PCC) sebagai pusat pemantauan berpusat aktiviti perbandaran di Putrajaya, diuji Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menekan butang panik ketika berada di tepi sisiran di Presint 1, pada Ahad.

Shahidan yang berpuas hati dengan respons pantas petugas PCC yang hanya mengambil masa lima saat untuk menjawab panggilan sejurus siren berbunyi turut membuka pelitup muka bagi membolehkan petugas mengenalinya.

“Assalamualaikum. Saya ni, Shahidan, Menteri. Tengah buat percubaan. Okay terima kasih. Ada nampak gambar saya?” katanya ketika menguji fasiliti berkenaan.

Ujian itu dirakamkan dalam video berdurasi 45 saat yang dihantar pada laman Facebook Perbadanan Putrajaya (PPj). Turut kelihatan Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Kemudahan butang panik dipasang di lokasi strategik di Putrajaya adalah antara inisiatif Bandar Pintar Putrajaya dan Bandar Selamat Putrajaya.

Fungsi butang panik itu membolehkan orang awam berhubung terus dengan PCC sekiranya berlaku kecemasan di sisiran tasik dan beberapa lokasi strategik bagi mendapatkan bantuan daripada agensi keselamatan dan kecemasan seperti Polis Putrajaya, Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Angkatan Pertahanan Awam.

Terdapat 89 butang panik dan 462 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Putrajaya.

PCC yang dilengkapi teknologi terkini dan beroperasi 24 jam sehari dilancarkan pada 3 Oktober 2019. Pemantauan pusat berkenaan meliputi keselamatan, trafik, kualiti alam sekitar, infrastruktur dan bencana alam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!