Peniaga patuh harga maksimum kit ujian Covid-19
SEKINCHAN - Sebanyak 564 premis di negeri ini dikesan mematuhi penandaan harga maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19 menerusi pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sehingga Isnin.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, premis terbabit meliputi sektor pengedaran, pemborong dan peruncitan yang diperiksa bermula 5 September lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, terdapat dua aduan diterima di daerah Petaling berhubung kit ujian Covid-19 dijual pada harga melebihi harga kawalan ditetapkan.
"Apabila kita membuat semakan, kita mendapati peniaga tersebut telah mematuhi arahan ditetapkan dan tiada dikenakan sebarang tindakan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan harga kit ujian Covid-19 di tiga farmasi di daerah Sabak Bernam pada Isnin.
Muhamad Zikril berkata, sehingga kini, tiada sebarang amaran bertulis dan tindakan dikenakan kepada mana-mana premis termasuk farmasi di seluruh negeri ini.
"Semua pematuhan berkaitan penandaan harga maksimum mencapai tahap tertinggi," jelasnya.
Beliau berkata, seramai 200 penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau KPDNHEP di seluruh Selangor digerakkan pada setiap hari.
Justeru, katanya, orang ramai diminta menyalurkan sebarang aduan sekiranya terdapat premis atau peniaga secara dalam talian yang menjual melebihi harga maksimum.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di negeri ini, Muhamad Zikril berkata, bekalan di seluruh farmasi di negeri ini adalah mencukupi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!