Masalah bekalan air jejas tanaman padi

Razman (kanan) mendengar masalah daripada pesawah, Shaiful Shahrin Ahmad Fuzi berikutan keadaan petak sawah yang kurang air untuk mulakan tanaman padi.
Razman (kanan) mendengar masalah daripada pesawah, Shaiful Shahrin Ahmad Fuzi berikutan keadaan petak sawah yang kurang air untuk mulakan tanaman padi.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seramai 40 pesawah di Parit Abas dan Parit Mat Ali, di sini tidak dapat memulakan tanaman padi musim ini ekoran tidak mendapat bekalan air secukupnya.

Masalah yang berlarutan sejak berpuluh tahun itu berlaku dipercayai berpunca daripada keadaan palong yang rendah, ketiadaan pam kekal dan sikap pentingkan diri sendiri segelintir pesawah yang tidak mengikut jadual dengan mengairi tanaman mereka terlebih dahulu.

Ketua Unit Parit Abas, Ishak Yunus berkata, musim ini dianggap paling teruk dialaminya apabila tidak sempat menanam padi berikutan petak sawah yang kurang air.

"Sepatutnya kompartmen kami menerima air pada Selasa minggu lalu tetapi sehingga kini, air tidak masuk-masuk sedangkan kompartmen lain sudah mula menanam padi.

"Meskipun waktu hujan, ia tidak mampu mengairi petak sawah. Bukan semua pesawah ada pam untuk mengairi tanaman hingga terpaksa mengeluarkan kos sendiri," katanya ketika ditemui di Parit Abad, di sini pada Isnin.

Menurutnya, kesemua masalah yang dihadapi pesawah dilaporkan kepada pihak berkaitan namun, tiada tindakan lanjut diambil.

"Tahun lalu sawah kami seluas lapan hektar dapat mengeluarkan hasil sehingga 48 tan metrik tetapi kali ini mungkin dapat satu tan bagi setiap ekar.

"Kami mengharapkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian dapat membantu kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, JPS menyediakan dua pam tambahan bagi membantu penduduk mengairi petak sawah mereka sebagai langkah penyelesaian jangka pendek buat masa ini.

"Berdasarkan aduan yang diterima, kita sediakan dua pam sebagai tambahan kepada lima pam sedia ada untuk bantu pesawah-pesawah ini.

"Untuk jangka panjang kita lihat kembali infrastruktur yang sedia ada. Perkara ini akan dibincangkan dan diselaraskan dengan pihak terlibat agar masalah ini dapat diatasi sepenuhnya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol turut menasihatkan pesawah lain untuk lebih bertoleransi dengan mematuhi jadual pengairan sawah.

"Kita minta kesemua pesawah untuk beri kerjasama kerana sumber air yang dibekalkan adalah mencukupi.

"Sekiranya pesawah dapat mengikutinya, masalah seperti ini mungkin dapat diminimumkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!