Paras air Sungai Golok susut

Paras air Sungai Golok semakin menyusut bagaimanapun aktiviti bot tambang berjalan seperti biasa.
Paras air Sungai Golok semakin menyusut bagaimanapun aktiviti bot tambang berjalan seperti biasa.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini pertengahan Februari lalu menyebabkan paras air Sungai Golok mulai menyusut.

Mengikut laporan portal Info Banjir Water paras air Sungai Golok ketika ini berada pada tahap 3.57 meter berbanding normal iaitu 5 meter.

Seorang penduduk, Che Abdullah Che Kassim, 55, berkata, paras air sungai itu mulai susut sejak dua minggu lalu.

"Penyusutan ini disebabkan oleh cuaca panas dan kering yang sedang melanda ketika ini," katanya.

Menurutnya, jika cuaca panas ini terus berlanjutan dia tidak menolak kemungkinan Sungai Golok akan menjadi kering.

Katanya, bagaimanapun dia mengharapkan perkara itu tidak berlaku kerana sungai tersebut turut menjadi nadi kepada penduduk setempat.

Che Abdullah berkata, bukan itu sahaja kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan telah melakukan persiapan untuk berdepan musim kemarau.

Artikel Berkaitan:

Dasar sungai mulai kelihatan apabila paras air di Sungai Golok menyusut sekitar 1.43 meter.
Dasar sungai mulai kelihatan apabila paras air di Sungai Golok menyusut sekitar 1.43 meter.

Katanya, mereka sudah mula membeli tong-tong bagi menyimpan air bagi memudahkan urusan harian nanti.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa buah pangkalan haram sekitar pekan Rantau Panjang dan Bukit Lata (Mundok) mendapati air sudah mulai kering.

Beting pasir yang sebelum ini tenggelam di dasar sungai mulai dapat dilihat dengan mata kasar secara jelas.

Bagaimanapun, aktiviti penduduk menggunakan bot tambang tetap berjalan seperti biasa.

Ada juga dalam kalangan penduduk mengambil peluang pada musim ini mandi di sungai yang cetek.

Tahun 2015 lalu, air Sungai Golok menjadi kering kontang ekoran fenomena el-nino sehinggakan penduduk boleh berulang alik ke Thailand dan Kelantan dengan berjalan kaki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!