Kerajaan cadang wujud indeks kos sara hidup: Guan Eng
BANGI - Kerajaan merancang mewujudkan indeks untuk mengukur kos sara hidup bagi membantu majikan menentukan kenaikan gaji yang bersesuaian.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diguna pakai ketika ini tidak mencerminkan kedudukan sebenar kos sara hidup kerana indeks tersebut merangkumi beberapa faktor lain seperti anggaran berkaitan kos pengeluaran perniagaan dan kos input.
"Apa yang dihasratkan tidak akan tercapai jika masih gunakan IHP sebagai rujukan untuk menentukan kenaikan kadar gaji," katanya.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan untuk Individu dan Keluarga di Malaysia, di sini hari ini.
"Saya sudah sampaikan perkara ini kepada Bank Negara Malaysia.
"Mungkin KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) boleh buat yang serupa kerana sekurang-kurangnya ada dua model indeks yang boleh kita buat perbandingan bagi mengukur kos kenaikan sara hidup yang lebih tepat," katanya.
Belanjawanku menyediakan anggaran perbelanjaan minimum bulanan ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap isi rumah di Lembah Klang bagi mencapai taraf hidup yang selesa.
Ia juga menyediakan panduan menyeluruh, termasuk peruntukan untuk keperluan asas, penyertaan sosial, simpanan yang disyorkan pembayaran balik dan kaedah praktikal dalam pengurusan perbelanjaan.
Pada masa ini, Belanjawanku mengambil kira perbelanjaan isi rumah di Lembah Klang, dan akan diperluas ke negeri-negeri lain dalam tempoh terdekat.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata pewujudan indeks itu merupakan langkah baik pertama dari segi infrastruktur jaminan sosial.
"Saya berharap data yang telah dikumpulkan akan dapat digunakan dalam pelaksanaan dasar.
" Saya menekankan bahawa ini bukanlah preskriptif dalam erti kata ia harus menjadi titik petunjuk dan input dalam pembangunan indeks ini," katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!