Pengadil kena ada wibawa
PERLAWANAN berprofil tinggi Liga Malaysia (Liga-M) melibatkan aksi Liga Super mahupun Liga Premier seharusnya diadili barisan pengadil yang berpengalaman dan lebih berwibawa.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, aspek itu amat penting dalam usaha memastikan perlawanan berkenaan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang keputusan meragukan daripada pengadil.
“Bagi saya, perlawanan-perlawanan penting dalam Liga-M perlulah diadili oleh pegawai-pegawai (pengadil serta pembantu pengadil) yang berpengalaman dan ada credible (wibawa).
“Apabila saingan liga, tidak kiralah Liga Super atau Liga Premier sudah memasuki penghujung musim, kebiasaannya perlawanan itu menentukan kejuaraan liga atau naik turunnya sesebuah pasukan.
“Jadi sudah sepatutnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih pengadil yang benar-benar cekap dan berpengalaman bagi mengendalikan perlawanan tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Aksi Liga Premier antara Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat lalu diselubungi insiden panas sebaik perlawanan berakhir.
Pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria menjadi 'watak utama' dalam insiden itu apabila beliau didakwa gagal mengadili aksi tersebut dengan baik.
Malah, pengendali Sarawak United FC, E Elavarasan turut kecewa dengan mutu pengadilan Mohd Kamil sehingga hampir dikasari beberapa pemain dan pegawai kelab berkenaan.
“Saya sebenarnya pun tak pernah dengar nama pengadil ini. Tetapi daripada semakan, dia pernah berada dalam status standby dalam empat perlawanan sebelum ini.
“Apapun selepas ini, perkara seperti itu perlu diberikan perhatian supaya perlawanan penting diadili oleh pengadil yang benar-benar berwibawa dan bersesuaian dengan status perlawanan,” ujar Sathianathan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!