Korban masa depan jaga ibu sakit, abang OKU
TANAH MERAH - Kesibukan belajar untuk mengejar impian tidak menghalang penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar di Perak untuk membahagikan masa menjaga ibu terlantar dan seorang abang Orang Kurang Upaya (OKU).
Penuntut Diploma Pengurusan Hartanah, Nik Noradila Mohd Wira, 19, menggalas tanggungjawab menjadi ketua keluarga dan menjaga ibunya, Fahshakinah Syed Lazim Shah, 43, yang menghadapi masalah paru-paru kronik sejak Mei lalu.
Dia juga perlu menumpukan perhatian kepada abangnya, Nik Mohammad Khoidir Mohd Wira, 21, yang lembam.
Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, sebelum ini tugas menjaga Nik Mohammad Khoidir digalas ibunya keadaan berubah selepas disahkan mengalami masalah pengecutan paru-paru selain mempunyai kekurangan oksigen dalam badan.
Katanya, ibunya terpaksa berulang-alik mendapat rawatan di Hospital Tanah Merah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), selain melakukan pembedahan di bahagian tengkuk untuk membantu saluran oksigen.
"Rutin hidup saya berubah 350 darjah. Memang sekelip mata mak sakit, terus terbaring dan tidak boleh bercakap. Tiga hari dia di rawat di Hospital Tanah Merah dan hampir sebulan di HRPZ II dan kembali ke Hospital Tanah Merah semula selama dua minggu.
"Semasa di Hospital Tanah Merah saya belajar bagaimana mahu menguruskan mak kerana memerlukan penjagaan rapi terutama untuk menguruskan wayar saluran susunya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Salak, Tanah Merah, di sini pada Selasa.
Noradila memberitahu, kuasa ALLAH dia mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik walaupun berdepan kekangan untuk mengulangkaji peperiksaan akhir semester dua kerana ketika itu dia berada di sisi ibunya di Hospital Tanah Merah.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya belajar secara dalam talian namun tidak menolak kemungkinan untuk menangguh pelajarannya jika pembelajaran bersemuka dilaksanakan di universiti tidak lama lagi bagi memastikan ibu dan abangnya terjaga.
"Kami tinggal bertiga selepas kematian bapa pada tahun 2007. Buat masa ini saya hanya mampu belajar di sisi mak dan abang. Mereka yang menjadi keutamaan saya. Tanpa saya, siapa boleh jaga mereka," katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ada saudara yang membantu meringankan bebannya tetapi masih bimbang jika permohonan untuk belajar di rumah tidak dibenarkan
Noradila memberitahu, ibunya kini bergantung sepenuhnya kepada minuman susu sebagai ganti makanan yang dimasukkan melalui saluran di hidungnya dan sumbangan susu diperoleh daripada pihak hospital manakala lampin pakai buang pula daripada sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS).
Katanya, Fahshakinah juga mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan manakala abangnya mendapat RM150 sebulan.
Noradila kini mula buntu memikirkan sumbangan susu dan lampin berkenaan habis kerana dia hanya bekerja sampingan dengan berniaga dalam talian dan hanya mendapat untung maksimum RM500 sebulan.
Hasratnya untuk mencari pekerjaan terpaksa ditangguh kerana tiada yang dapat menjaga ibunya dan dia kini mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran.
"Kalau berhenti belajar pun saya tetap tidak boleh keluar bekerja.
"Dengan kudrat yang ada ini, berbekalkan sebuah laptop yang selalu rosak, saya harap saya dapat menghabiskan pengajian saya ini sebaik mungkin. Ini sahaja yang saya mampu buat demi keluarga dan masa depan saya," katanya.
Kepada mereka yang mahu menyumbang boleh menyalurkan bantuan kepada Noradila melalui akaun Bank Islam 03054020823962.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!