Rakyat diuji bila banyak sektor mula dibuka
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) pada Ahad mengumumkan sekolah akan dibuka bermula 3 Oktober secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Maka ramailah ibu bapa yang mula memikirkan kebimbangan menghantar anak-anak ke sekolah kerana kes Covid-19 dalam negara masih tidak banyak berubah.
Pelbagai alasan dan pertanyaan terpaksa dihadapi kementerian itu termasuk isu guru tidak divaksin, pekerja kantin, pemandu bas sekolah dan kakitangan lain yang berkaitan.
Pada masa sama, ketika pengumuman pembukaan sekolah dibuat, kes baharu Covid-19 dalam negara ialah 19,198 dan dianggap masih tinggi.Bagaimanapun ramai juga yang memuji tindakan KPM membuka sesi persekolahan selepas sekian lama anak-anak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ada yang menarik nafas lega dan tawakal kerana menganggap virus Covid-19 sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat dan menerima norma baharu.
Mungkin lebih melegakan ibu bapa apabila Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin memaklumkan ketidakhadiran pelajar bukan satu kesalahan disiplin tetapi perlu ada surat daripada ibu bapa mengenai perkara itu.
Ibu bapa juga tidak akan diberikan surat amaran dan perkara berkenaan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini.
Dalam kebuntuan sebahagian ibu bapa memikirkan anak-anak yang bakal menjejakkan kaki ke sekolah, ada di antara kita yang sudah menempah tiket ke pulau peranginan Langkawi melalui projek rintis di bawah program gelembung pelancongan yang bermula 16 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September mengumumkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik memutuskan membuka semula sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan dan untuk permulaan, Langkawi dipilih sebagai projek rintis itu.
Selain Langkawi, pusat peranginan Pulau Pangkor dijangka turut dibuka semula kepada kepada para pelancong yang telah lengkap divaksin mulai 1 November ini.
Pembukaan pusat-pusat pelancongan popular tersebut tentunya bakal menguji sejauh mana rakyat negara ini untuk menjaga disiplin diri pada ketika virus Covid-19 masih agresif berlegar di persekitaran kita.
Rakyat diharapkan jangan hanya ligat mengkritik di media sosial tetapi hakikatnya ada antara mereka masih tidak mampu menjaga prosedur operasi standard (SOP).
Sudahnya, kita buat kita tanggung
Sebenarnya, kerajaan membuat semua keputusan bagi mengawal pandemik dengan SOP yang ketat dan ia perlu dipatuhi namun sejauh mana kita boleh melakukannya?Jika kepatuhan kepada SOP itu dikaitkan dengan sekolah, mungkin ada peraturan yang wajib dipatuhi oleh para pelajar dan kita yakin mereka sudah tentu boleh mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah kerana mereka sudah biasa diasuh begitu.
Bagaimana pula sikap ibu bapa yang mahu membawa anak-anak mereka makan angin dan bolehkah mereka mendidik dan melatih anak-anak untuk patuh kehendak SOP sepanjang tempoh melancong.
Ketika ini, kita boleh mengetahui siapa yang lebih faham, patuh dan adaptasi kepada kehendak kerajaan bagi mengelakkan lebih banyak kes positif Covid-19 berlaku.
Tepuk dada tanya selera Mungkin ada di kalangan rakyat yang bimbang dengan langkah kerajaan melonggar beberapa sekatan ketat tetapi kita tidak perlu menuding jari kerana fokus utama sekarang adalah kita wajar untuk bersama kerajaan membantu meningkatkan semula ekonomi negara.
Kerajaan juga diharapkan dapat memberikan maklumat terkini yang lebih pantas terutama mengenai SOP apabila sektor-sektor tertentu dibuka supaya masyarakat lebih jelas dan faham bagi mengelak berlaku kenaikan kes seperti sebelum ini.
Hanya satu pertanyaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, adakah ia sudah bersedia menghadapi gelombang Covid-19 seterusnya ekoran dari kelonggaran yang diberikan? Apa pun, kita doakan yang terbaik buat negara dan rakyat.
* Aswany Omar ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!