Bot karam Pulau Nunuyan: Mayat kanak-kanak ditemui
SANDAKAN - Mayat seorang kanak-kanak perempuan, iaitu mangsa bot karam di perairan Pulau Nunuyan di sini, Khamis lalu, ditemukan kira-kira 7.50 pagi ini.
Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat hari ini mendapat maklumat bahawa seorang nelayan telah membuat panggilan menerusi Sistem Respons Kecemasan Malaysia (MERS 999) untuk memberitahu penemuan mayat terapung di perairan antara Tanjung Pasir dan Mumiang dekat sini.
Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan bertindak mengambil mayat itu kira-kira 40 minit kemudian dan tiba di jeti PPM Sandakan pukul 9.30 pagi.
Mangsa dikenalpasti sebagai Nidzma Herman, 10, adalah warga Filipina.
Mangsa adalah yang keempat ditemukan lemas selepas Kimar Herman, tujuh tahun, ditemukan pukul 4.00 petang Jumaat (1 Mac); Aidah Kadil, 35, (tengah hari 2 Mac); dan Ibrahim Januari, 27, (pukul 9.05 pagi semalam).
Operasi SAR melibatkan APMM, PPM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki dewasa dikenali sebagai Sido, yang juga juragan bot, dan kanak-kanak perempuan Noraina Ibrahim berumur satu tahun.
Operasi itu diaktifkan selepas lima mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita ditemui selamat oleh bot tempur TLDM pada pukul 12.15 tengah hari Jumaat (1 Mac).
Mereka dilihat berpaut pada bot itu yang terbalik selepas 18 jam hanyut sejak kejadian pukul 6.00 petang Khamis (28 Feb).
Bot itu dipercayai dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dan terbalik akibat keadaan laut bergelora. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!