Langkah 'mengurung' rakyat tidak lagi sesuai: PM
KUALA LUMPUR - Langkah 'mengurung' rakyat tidak lagi sesuai malah dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.
Beliau berkata, ia sekaligus membuatkan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pembukaan sektor ekonomi.Menurutnya, pembukaan ekonomi bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.
“Pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah wajar berikutan peratusan penerima vaksinasi yang tinggi.
“Malah, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Selain itu sektor-sektor ini dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk hanya membenarkan pelanggan yang telah divaksin lengkap sahaja untuk masuk membuat urusniaga atau mendapatkan perkhidmatan,”katanya ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Mohd Salim Sharif yang mahu penjelasan tentang kewajaran pembukaan 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa1 PPN ketika kes jangkitan harian masih tinggi.
Dalam masa sama, Ismail berkata, ketika ini kedudukan Malaysia telah turun 35 anak tangga ke kedudukan ke-51 daripada 53 negara dalam Indeks Daya Tahan Covid-19 yang diterbitkan oleh Bloomberg pada Julai 2021.
Katanya, Indeks tersebut menunjukkan realiti kedudukan ekonomi peniaga, pekerja dan isi rumah di Malaysia yang semakin membimbangkan sekiranya proses pembukaan ekonomi kekal perlahan seperti ketika ini.
“Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) juga adalah bersifat sementara dan keutamaan perlu diberikan kepada beberapa sektor ekonomi, antaranya sektor yang berorientasikan buruh kerana sektor ini menggajikan ramai pekerja dan apabila perniagaan dibuka, ramai pekerja akan mendapat pekerjaan.
“Selain itu, pembukaan sektor-sektor ini dapat membantu usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuka kembali perniagaan mereka secara berperingkat,”katanya.
Jelas beliau lagi, penanda aras dalam PPN adalah berdasarkan kepada tiga indikator iaitu kes harian Covid-19, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan peratus penerimaan vaksin.
“Kerajaan berpandangan agar perkara ini perlu diimbangi dengan indikator ekonomi seperti kadar kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan penutupan operasi perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!