Rumah teres terbakar, suami isteri selamat
TEMERLOH - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas rumah yang disewa terbabit dalam kebakaran di Taman Rimba Mentakab di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.57 petang itu, kedua-duanya berjaya keluar menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab, Penolong Penguasa Bomba, Hairysam Mat Tahar berkata, kebakaran membabitkan 90 peratus kemusnahan.
Menurut beliau, seramai enam anggota bersama seorang pegawai dengan kekuatan logistik sebuah jentera pemadam dari BBP Mentakab bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.
"Selain itu, operasi turut dibantu BBP Bukit Angin yang disertai enam anggota dan sebuah jentera pemadam.
"Sebaik tiba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis teres dua tingkat dan tidak membabitkan sebarang nyawa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi tamat pada jam 9.24 malam.
Tambah Hairysam, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!