Wenger yakin Arsenal mula bangkit
BEKAS pengendali Arsenal, Arsene Wenger yakin The Gunners mampu bangkit walaupun menghadapi permulaan buruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Menurut Wenger, dia nampak potensi yang dimiliki Arsenal untuk kembali berada di kedudukan terbaik liga selain optimis dengan kemampuan Mikel Arteta untuk mengemudi kelab itu.
Sebelum ini, timbul persoalan mengenai kemampuan Arteta dan selama mana pengendali kelahiran Sepanyol itu mampu bertahan di Emirates selepas permulaan liga yang kurang memuaskan tewas tiga perlawanan awal termasuk dimalukan pendatang baharu EPL, Brentford.
Namun, kemenangan 1-0 yang diraih ketika menentang Norwich City memberikan sedikit sinar kepada pasukan dan Arteta untuk mengubah hala tuju pasukan itu dalam saingan liga musim ini.
"Secara jujurnya saya suka untuk menyatakan apa yang saya fikir dan saya percaya situasi semakin baik buat Arsenal.
"Sudah tentu apabila bercakap mengenai Arsenal, ia adalah sesuatu yang sensitif dan mungkin bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenainnya.
"Tetapi, saya perlu katakan bahawa saya melihat pasukan itu mempunyai kualiti. Saya lihat mereka terpaksa menghadapi dua perlawanan sukar dalam tiga perlawanan awal menentang Chelsea dan manchester City.
"Apabila anda menghadapi City di tempat mereka, kemungkinan untuk pulang tanpa mata adalah tinggi. Sebab itu saya tengok keputusan buruk hanya ketika Arsenal tewas kepada Brentford dan selepas itu pasukan ini semakin meningkat.
"Saya harap mereka akan bangkit dan saya rasa mereka mampu. Mereka ada potensi dan saya berharap mereka dapat meraih lebih banyak keputusan positif," katanya yang menjadi pengendali Arsenal selama 22 tahun sejak 1996 sehingga 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!