Kerajaan tidak konsisten status warganegara anak lahir luar negara
KUALA LUMPUR - Kerajaan didakwa tidak konsisten berhubung keputusan hak ibu mendapat kewarganegaraan untuk anak yang lahir di luar negara selepas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Isnin.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, tindakan Idrus tidak selari dengan kenyatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang secara terbuka mengalu-alukan keputusan mahkamah itu sebagai memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional.
"Oleh kerana keputusan Peguam Negara ini dilihat bertentangan dengan kenyataan menteri, maka kita juga tertanya-tanya adakah ini sebuah kerajaan yang berkepala dua atau satu lagi contoh kes menteri wanita yang tidak memahami tanggungjawabnya dalam memperjuangkan hak kesamarataan bagi golongan wanita?, " katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Susulan itu, Hannah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengarahkan Idrus menarik semula notis rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu.
"PM (Perdana Menteri) perlu memastikan Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi.
"Episod ini sahaja sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam kabinet beliau dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan kerajaan ini melindungi wanita dan kanak-kanak," katanya.
Tambahnya, konsep keluarga besar Malaysia dibawa Ismail kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal oleh Peguam Negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka.
"Ini adalah ujian 100 hari Ismail Sabri bagi membuktikan bahawa beliau mampu untuk menjinakkan kerajaan pelbagai kepala dan membawa kelegaan kepada para ibu dan anak-anak mereka yang menderita," katanya.
Memetik laporan sebuah portal pada Isnin, Idrus mengesahkan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada hari sama untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 9 September lalu bahawa bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.
Saman difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!