Insurans hayat catat pertumbuhan sederhana 2018

Persatuan Insurans Hayat Malaysia
Persatuan Insurans Hayat Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri insurans hayat mencatatkan pertumbuhan sederhana tahun lepas dari segi perlindungan kepada rakyat Malaysia kepada RM1.51 trilion nilai jaminan ke atas polisi, peningkatan sebanyak 9.6 peratus berbanding RM1.38 trilion pada 2017.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata industri insurans hayat keseluruhan mencatatkan sejumlah 12.65 juta polisi manakala polisi kelompok meningkat 2.9 peratus pada 2018.

Jumlah premium meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM38.8 bilion pada 2018 berbanding RM36.7 bilion pada 2017.

Bilangan nyawa yang dilindungi di bawah polisi kelompok mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan, sebanyak 10.1 juta nyawa pada 2018 berbanding 9.6 juta nyawa pada 2017.

Jumlah per kapita terus meningkat hingga RM46,610 pada 2018 daripada RM43,029 pada 2017, namun angka itu masih kurang daripada yang diperlukan untuk menyara seorang ahli keluarga sekiranya pencari nafkah meninggal dunia atau cacat anggota," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah premium perniagaan baharu meningkat 1.8 peratus tahun lepas berjumlah RM10.3 bilion berbanding 10.1 bilion pada 2017.

Sementara itu, jumlah tuntutan yang dibayar meningkat 6.5 peratus kepada RM10.8 bilion tahun lepas daripada RM10.1 bilion pada 2017 ekoran tuntutan perubatan yang lebih tinggi.

Mengenai prospek, Presiden LIAM Anusha Thavarajah berkata prospek industri insurans hayat kekal positif kerana peratusan penduduk dengan insurans hayat atau pelan takaful masih rendah iaitu pada tahap 54 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Mengambil kira pemegang polisi dengan lebih satu polisi atau sijil hayat atau takaful, hanya 34 daripada 100 orang, diinsuranskan.

"Kadar penembusan yang rendah bermakna terdapat lebih banyak peluang untuk industri berkembang dan memanfaatkan pasaran yang berpotensi, terutama di kawasan yang kurang mendapat perhatian di negara ini serta kawasan bandar dan luar bandar," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!