Strategi jangka panjang tingkat pendapatan isi rumah: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi jangka sederhana dan jangka panjang untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah miskin dalam kalangan B40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan-bantuan yang diberikan di bawah lapan pakej rangsangan ekonomi sebelum ini adalah berbentuk jangka pendek.

Menurutnya, antara langkah strategi sederhana dan jangka panjang termasuk dengan menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan.

“Selain itu, kerajaan juga akan menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.

“Kerajaan juga akan menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan dan meningkatkan perlindungan sosial.

“Dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan apabila lebih banyak lagi negeri beralih ke Fasa 2, 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara, kedudukan ekonomi kita dijangka lebih kukuh, dan pendapatan isi rumah bulanan akan bertambah baik," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mahu mengetahui langkah kerajaan dan penjelasan berkenaan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

Sebelum itu, Ismail menjelaskan, pendapatan purata kasar bulanan isi rumah telah menurun sebanyak 10.3 peratus daripada RM7,901 pada tahun 2019 kepada RM7,089 pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Katanya, insiden kemiskinan telah meningkat kepada 8.4 peratus yang melibatkan 639.8 ribu isi rumah berbanding 5.6 peratus atau 405.4 ribu isi rumah pada tahun 2019.

Lebih kurang 600,000 isi rumah daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 sebulan telah jatuh ke kumpulan B40.

Ia berdasar dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan pada Ogos 2021.

Ismail berkata, antara bantuan jangka pendek yang dilaksanakan kerajaan adalah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) fasa 1.

Katanya, turut dilaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman kepada lebih 7 juta peminjam; dan diskaun bil elektrik sebanyak RM3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu serta isi rumah.

"Selain itu, kerajaan juga telah menyalurkan dana sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen, melaksanakan Bantuan Bakul Makanan yang dimanfaatkan lebih kurang 375,000 penerima.

"Kerajaan juga mengekal dan mewujudkan pekerjaan termasuk program subsidi upah yang telah membantu kira-kira 300,000 majikan dan mengekalkan lebih daripada 2.7 juta pekerjaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!