Tiada balai bomba di Pulau Pinang ditutup

Saadon (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang dalam Program Sambutan Hari Malaysia di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak pada Selasa.
Saadon (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang dalam Program Sambutan Hari Malaysia di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang mengesahkan tiada kes baharu positif Covid-19 melibatkan 850 anggota dan pegawainya sehingga Isnin.

Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, susulan daripada itu, tiada balai bomba di negeri ini ditutup.

Menurutnya, hanya dua anggota masing-masing dikenakan kuarantin kendiri dan dalam pemerhatian susulan dikenalpasti menjadi kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga mereka.

"Kedua-dua anggota tersebut kini berada di kediaman mereka kerana kuarantin kendiri bermula 10 hingga 20 September ini dan kedua-duanya sudah lengkap divaksin.

"Tiada kes positif baharu melibatkan semua anggota dan pegawai di Pulau Pinang setakat semalam.

"Kes positif yang terakhir melibatkan empat anggota dan mereka telah menjalani kuarantin bermula 1 hingga 11 September lalu yang mana mereka sudah memotong gelang 'pink' pada Ahad lalu," katanya selepas menghadiri Program Sambutan Hari Malaysia di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Saadon berkata, kebanyakkan kes positif melibatkan anggota dan keluarga adalah melalui ahli keluarga, bukannya ketika mereka menjalankan tugas.

Tambahnya, kesemua 850 anggota dan pegawai bomba di seluruh Pulau Pinang juga sudah lengkap divaksin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Program Sambutan Hari Malaysia, Saadon berkata, ia bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam konteks Keluarga Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini.

Beliau berkata, sambutan tersebut diadakan secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Program seumpama ini adalah yang pertama kali diadakan dengan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak membawa bendera Malaysia sambil melakukan flying fox, abseiling dan beberapa aksi lain.

"Memandangkan tidak boleh menganjurkan secara besar-besaran, maka kita sambut secara sederhana sahaja bagi menunjukkan semangat perpaduan dalam konteks Keluarga Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!