Pengusaha food truck abai keselamatan pengguna?
Mukadimah
Perniagaan food truck semakin hari semakin popular di negara kita apabila ramai peniaga kini berlumba-lumba menceburinya.
Namun soal keselamatan kini menjadi perhatian apabila ia dikatakan boleh mengancam nyawa orang ramai. Difahamkan, lebih 90 peratus food truck di seluruh negara didedahkan berisiko membahayakan nyawa kerana tidak mengikut pelan teknikal ditetapkan Jabatan Bomba.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, sebelum ini menegaskan peraturan food truck diseragamkan dan pemilik perlu mengikut garis panduan dikeluarkan.
Bagi pihak pengusaha food truck, mereka sebaliknya tertanya-tanya peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan kerajaan ini. Adakah garis panduan itu menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan belanja tinggi?
Mereka berharap pihak-pihak berkaitan seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JBPM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu bagi penjelasan lanjut kepada pengusaha food truck yang masih dalam keadaan keliru!
Garis panduan perlu jelas
Pembuat dan pembekal food truck (menjual makanan dari trak) memohon kerajaan segera mewarwarkan garis panduan seragam yang diwartakan bagi pembinaan food truck berhubung isu keselamatan perniagaan itu di negara ini.
Pengerusi Biro Food Truck Dewan Perniagaan dan Keusahawanan Selangor, Rafizan Abd Razak berkata, garis panduan seragam itu akan dapat membantu pihaknya untuk menaik taraf serta menyediakan trak bergerak menepati ciri keselamatan.
Menurutnya, dalam erti kata lain pihak pengeluar boleh mengeluarkan food truck yang menepati spesifikasi keselamatan ditetapkan sekiranya garis panduan telah diwajibkan dari segi susun atur food truck itu sendiri.
"Sebelum ini, kita bina food truck mengikut tempahan dan kehendak pelabur dengan lingkungan harga dari RM50,000 hingga RM90,000. Pun begitu kita utamakan ciri keselamatan seperti sistem pencegahan kebakaran, pendawaian dan sistem air di dalam trak bergerak termasuk air kumbahan.
"Sebagai salah satu pengeluar food truck, kita sememangnya ingin memastikan pengusaha food truck tidak berhadapan dengan masalah keselamatan dan perniagaan diusahakan berjaya," katanya ketika ditemui di premis pameran Food truck di One Selayang.
Menurutnya, buat masa ini dia melalui Tasnim Motor Sdn Bhd telah mengeluarkan lebih 30 unit food truck melalui kerjasama agensi pelabur seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan terbaharu Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Rafizan bagaimanapun tidak menolak ada food truck yang tidak mengutamakan ciri-ciri keselamatan kerana kekangan kewangan oleh pengusaha.
Bahkan menurutnya, ada pihak mewawarkan harga serendah RM26,500 untuk memiliki food truck.
"Harga ini tidak munasabah. Harga kepala lori yang boleh disediakan sudah sekitar RM30,000. Paling kurang perlu RM50,000 yang menepati ciri keselamatan serta dilengkapi pendawaian baharu.
"Ada juga membeli lori terpakai berusia lebih 20 tahun dan diubah bina menjadi food truck dengan sistem-sistem sedia ada pada lori terpakai berkenaan," katanya.
Menurutnya, sejak tahun 2011 hingga kini, terdapat lingkungan 300 hingga ke 400 unit food truck di seluruh negara.
"Garis panduan sebelum ini memang ada cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. Kita memerlukan maklumat serta satu garis panduan tepat untuk disampaikan kepada pelabur serta individu memerlukan khidmat nasihat dalam pembinaan food truck," katanya.
Rafizan berkata, dalam perniagaan food truck, dia melihat terdapat dua risiko iaitu risiko kemalangan di atas jalan raya dan juga kebakaran memandangkan aktiviti food truck menawarkan khidmat makanan dimasak terus kepada pengguna.
"Buat masa ini kalau ikut harga serendah RM50,000, itu memang ada sistem cegah kebakaran dan alat pemadam api. Ini untuk food truck bersaiz kecil. Kalau ada duit lebih sikit, kita boleh bina bahan kalis api dalam food truck.
"Memang ada risiko kebakaran tapi semuanya bergantung kepada sejauh mana pengusaha food truck bijak mengawal aktiviti di dapur mengikut pengetahuan yang ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!