Nenek diacu parang, rantai emas RM170,000 diragut dua perompak

Shafien (dua dari kiri) menunjukkan dua gelang lipan bernilai RM60,000 dan RM20,000 yang berjaya ditemui semula oleh pihak polis selepas kejadian rompakan terhadap seorang warga emas wanita berusia 63 tahun.
Shafien (dua dari kiri) menunjukkan dua gelang lipan bernilai RM60,000 dan RM20,000 yang berjaya ditemui semula oleh pihak polis selepas kejadian rompakan terhadap seorang warga emas wanita berusia 63 tahun.
A
A
A

TUMPAT - Seorang nenek berdepan detik cemas apabila lehernya diacu parang oleh dua perompak yang kemudian melarikan barangan kemas rantai leher jenis gajah dan rantai tangan jenis lipan bernilai RM170,000 di Kampung Berangan, Stesen di sini pada Isnin.

Kejadian berlaku pada jam 10 pagi ketika wanita yang berusia 63 tahun itu bersendirian di rumahnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dua lelaki yang memakai topi keledar memasuki rumah mangsa dengan membawa dua bilah parang.

Katanya, suspek bertindak mengacukan parang ke leher mangsa dan menekup mulutnya dengan tangan.

“Suspek kemudian mengambil barang kemas yang dipakai mangsa keseluruhannya bernilai RM170,000 iaitu rantai leher jenis gajah RM90,000 dan dua gelang tangan jenis lipan RM60,000 serta RM20,000.

“Mangsa menjerit meminta pertolongan namun tidak didengari oleh sesiapa,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu merasmikan Balai Polis Palekbang di sini yang turut dihadiri oleh wakil Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Nor Ashikin Abdul Razak.

Ujar Shafien, kurang sembilan jam selepas kejadian, polis menahan empat lelaki yang berusia antara 35 hingga 41 tahun termasuk bekas penyewa rumah milik mangsa yang terletak bersebelahan dengan rumah tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua mereka ditahan bermula jam 7.30 malam Isnin sehingga jam 7 pagi Selasa di sekitar Tumpat dan Kota Bharu.

“Sebahagian barangan kemas iaitu dua gelang tangan berjaya dijumpai semula manakala rantai leher pula sudah dijual oleh suspek di sebuah kedai emas di Kota Bharu,” katanya.

Tambah beliau, ujian urin tiga daripada mereka termasuk bekas penyewa itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan enam telefon bimbit mereka dirampas untuk siasatan.

“Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari bermula Selasa sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!