Projek terowong dasar laut: SPRM buka enam kertas siasatan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka enam kertas siasatan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

SPRM melalui kenyataan media hari ini berkata, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017 manakala lima lagi kertas siasatan dibuka pada Januari lepas.

“Sebanyak lima kertas siasatan telah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Tiga kertas siasatan telah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya. Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM,” kata kenyataan itu.

SPRM sebelum ini menahan 5 individu, termasuk Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan merakamkan lebih 120 kenyataan. Bagaimanapun tiada dakwaan dibuat.

Consortium Zenith Construction syarikat yang bertanggungjawab membina terowong dasar laut dan 3 projek jalan raya di Pulau Pinang.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Pangkor Road di George Town dengan Bagan Ajam di Butterworth.

Pembinaannya dijangka bermula pada 2030 sekiranya projek tersebut didapati sesuai dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tiga projek jalan utama berkenaan melibatkan jalan dari Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sejauh 5.7km; Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km); dan persimpangan Jalan Pangkor-Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km). Projek jalan raya ini telah mendapat semua kelulusan yang perlu.

Penulis blog, Raja Petra Kamarudin sebelum ini mendakwa Zenith merasuah pegawai kerajaan negeri berhubung projek berkenaan.

Dalam tulisan di blog miliknya, Raja Petra merujuk kepada kertas siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut dan jalan raya itu yang dikatakan bernilai kira-kira RM6.3 bilion.

Menurut tulisan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan beberapa orang anggota exco kerajaan negeri terbabit dalam siasatan tersebut.

Guan Eng mengecam tulisan berkenaan sebagai bohong dan tidak masuk akal sambil berkata, SPRM sendiri telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra.

Zenith turut menafikan sambil menegaskan dakwaan yang dibuat dalam beberapa tulisan penulis itu adalah keji dan rekaan semata-mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!