Kemalangan maut: Penjawat awam tidak mengaku salah
TANAH MERAH - Seorang penjawat awam lelaki berusia 36 tahun yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kematian di Jeli pada Jumaat lalu tidak mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanah Merah pada Selasa.
Pengakuan tidak bersalah tertuduh dibuat di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed dan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Mazuin Che Mahmood.
Mengikut kertas pertuduhan, pada jam 11.11 pagi 10 September lalu, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Honda sehingga membahayakan pemandu lain dan terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Jeli, di sini.
Kemalangan tersebut turut melibatkan dua penunggang motosikal yang meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa cedera parah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 serta tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat sebarang rayuan dan tawaran jaminan dilakukan Mazuin sebanyak RM20,000.
Bagaimanapun, majistret menetapkan jaminan sebanyak RM10,000.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, keputusan ujian urin terhadap tertuduh mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Tarikh sebutan semula kes adalah pada 1 November depan.
ARTIKEL BERKAITAN:Penjawat awam terlibat nahas di Jeli positif dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!