Ahya Rosli tinggalkan pentas peragaan

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS lebih sedekad menceburi bidang peragaan, akhirnya Ahya Rosli yang juga anak dramatis Normah Damanhuri mengucapkan selamat tinggal pada pentas peragaan.

Mungkin sepanjang tempoh itu, Ahya sudah puas menikmati bidang tersebut. Mana tidaknya, hampir separuh dunia sudah dijejaki menerusi kerjasama pelbagai jenama mewah yang dijayakan.

Justeru, kata Ahya, sudah tiba masanya untuk dia berkhidmat kepada legasi baharu pula.

No Image Caption

“Alhamdulillah dalam bidang ini saya sudah 11 tahun dan sekarang sudah tiba masanya untuk saya menyumbang ilmu pula.

"Mengajar pelapis baharu berkaitan bidang ini seperti bagaimana caranya untuk menjaga kecergasan fizikal dan mental, selain etika pekerjaan serta penampilan diri untuk menjadi seorang model yang berkualiti,” jelas anak didik Shila Lama dan Amber Chia ini.

Tambah pemilik nama sebenar Ahya Ulumuddin Rosli, 32, tanpa rohani yang positif dalam diri ia akan pincang.

Artikel Berkaitan:

“Bukan setakat fizikal dan rupa paras tapi dalaman pun memainkan peranan penting.

"Kalau luaran sahaja cantik namun rohani tidak kuat maka ia tidak lengkap, sebab itu harus jaga untuk berjaya selain fokus pada matlamat,” ujarnya.

Hasil merantau sebagai model antarabangsa, Ahya yang ditemui di sesi kelas catwalk, Bootcamp Mister Planet Nation Malaysia (MPM) 2019, nekad mahu mengangkat martabat dunia peragaan ke satu aras yang lebih berprestij.

"Cuma satu saya belum puas, kenapa industri peragaan tanah air tidak boleh setaraf negara luar? Kelas dan persiapan mereka sangat rapi.

"Jadi inilah inisiatif saya untuk mengajar generasi baharu dan pada masa sama mahu bekerjasama dengan rakan media serta orang industri untuk bersama-sama menaikkan bidang ini.

No Image Caption

“Zaman saya dahulu masa mula-mula ceburi bidang ini, tak ada sesiapa yang ajar. Siapa saya hari ini kerana dibentuk dari pengalaman yang telah dilewati,” luah Ahya.

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang pembabitan sebagai model, Ahya berkata, berat untuk meninggalkan ibunya.

"Cabaran saya adalah setiap kali terima job untuk show di luar negara. Show di sana selalunya memakan masa yang agak lama.

"Jadi saya kasihan pada mama terpaksa tinggal sorang, apatah lagi mama seorang ibu tunggal.

"Ada jugalah beberapa tawaran saya tolak demi untuk menemani mama,” katanya yang mengutamakan keluarga.

Untuk rekod, kembara Ahya bermula dari Majalah Maskulin kemudian meraih kejayaan besar dalam kebanyakan pertandingan yang disertai seperti Manhunt Malaysia, Ford Supermodel Search pada 2009 dan mewakili Malaysia untuk Mr Asia 2011 di Hong Kong.

Bukan sahaja berjaya menyandang status juara tetapi pengiktirafan terunggul turut dikecapi sebagai Model of The Year Malaysia by Stylo 2013, Asia Star Model 2014 dan Celebrity of The Year by Face of Malaysia 2017.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!