Sikap ‘setel tepi’ punca ramai jadi mangsa scammer

Nik Ezanee (tengah) ketika program bual bicara di Facebook Live Polis Selangor, pada Selasa.
Nik Ezanee (tengah) ketika program bual bicara di Facebook Live Polis Selangor, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya masyarakat yang berfikiran semua kesalahan boleh diselesaikan dengan cara tidak sah atau ‘setel tepi’ menjadikan golongan ini sasaran mudah buat individu dan sindiket penipuan Macau Scam yang semakin berleluasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihak sindiket akan sentiasa mengintai peluang untuk mengeksplotasi kelemahan kita sendiri dengan pelbagai taktik dan helah licik.

“Mereka akan yakinkan kita terutamanya warga emas kononnya kita ada buat kesalahan jenayah. Bila mereka tahu mangsa percaya dengan penipuan tersebut, mereka akan beri nombor telefon individu kononnya seorang sarjan polis.

“Individu yang kononnya anggota polis itu akan menawarkan pertolongan dengan syarat membuat sedikit pembayaran kepadanya secara dalam talian,” katanya dalam satu program bual bicara di halaman Facebook Live Polis Selangor pada Selasa.

Menurut Nik Ezanee, pihak polis tidak pernah meminta sebarang pembayaran untuk menyelesaikan kes dan menasihatkan orang awam yang menerima permintaan sedemikian untuk terus ke balai berdekatan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Polis tidak akan meminta duit daripada sesiapa, kalau ada apa-apa panggilan sebegini orang awam dinasihatkan untuk meminta lokasi balai pemanggil itu bertugas dan terus ke balai berkenaan.

“Jangan fikir kita boleh setel tepi, di situ kita akan kena tipu. Kalau yakin tiada kesalahan kita tidak perlu risau. Tiada polis yang boleh minta bayaran untuk selesaikan kes, polis mesti panggil ambil keterangan di balai atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Superintenden Raduan Othman menyifatkan usaha membanteras kegiatan sindiket scammer ini seperti teori aisberg.

Artikel Berkaitan:

“Jenayah siber ini sangat sukar ditangani kerana ia seperti puncak aisberg, kita dapat melihat bahagian permukaan sahaja.

“Contohnya jika saya ditipu untuk memasukkan wang kedalam satu akaun, dari segi pembuktian di mahkamah pemilik akaun yang bersalah tetapi sebenarnya pemilik akaun juga merupakan mangsa sindiket ini,” katanya.

Menurutnya, sindiket penipuan berkenaan menjadikan pemilik akaun keldai sebagai kambing hitam dan bijak mengubah modus operandi mereka apabila kegiatan mereka dihidu polis.

“Kita perlu sentiasa bersiap sedia, dengan kemajuan capaian internet di negara kita sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penjenayah siber ini. Hanya dengan ayat-ayat manis untuk menjerat mangsa mereka mampu memperoleh puluhan ribu ringgit,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!